Search This Blog

Thursday, September 25, 2014

Ditimpa besi 25 tan


Melaka: Seorang pemandu lori sampah sebuah syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan maut selepas dihempap batang besi kren seberat 25 tan ketika kerja menaikkan sebuah pam konkrit ke atas bumbung kompleks beli-belah di bandar raya ini, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 5.35 pagi, mangsa, Anas Tawi, 55, berada di dalam lori sampah di belakang bangunan pusat beli-belah itu dan tidak sempat melarikan diri ketika palang besi kren tumbang menghempap lori yang dipandunya secara tiba-tiba.
Mangsa yang juga warga Indonesia dan mempunyai taraf penduduk tetap meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Rakan sekerja mangsa yang juga kelindan lori Sabari Bidin, 45, berkata, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas.
“Ketika kejadian saya berada di belakang lori dan batang besi kren tiba-tiba tumbang dan menghempap lori dipandu Anas,” katanya, di sini, semalam.
Sementara itu, anak bongsu mangsa, Siti Hidayu Anas, 22, berkata, dia dan ibunya, Emi Bokhori, 56, mengetahui kejadian menimpa bapanya selepas seorang anak majikan datang ke rumahnya di Durian Tunggal, di sini.
Katanya, dia dan ibunya segera ke tempat kejadian, namun sebaik tiba didapati bapanya sudah dibawa ke Hospital Melaka, untuk dibedah siasat.
“Sudah lebih 30 tahun bapa melakukan rutin kerja sama setiap hari.
Dia akan ke pusat beli-belah itu terlebih dulu untuk mengutip sampah, namun tidak sangka hari ini (semalam) hari terakhir dia bekerja.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan bapa pada Isnin lalu dan ketika itu, dia seperti biasa saja.

Kami sekeluarga memang sedih kerana kemalangan ini berlaku disebabkan kecuaian manusia.
“Selepas menguruskan pengebumian, baru kami akan fikir sama ada ingin mengambil tindakan undang-undang atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, semalam.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Razali Bakar berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat,” katanya, semalam.
Foto
KEADAAN lori kren yang menghempap lori sampah menyebabkan pemandu maut.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

No comments:

Post a Comment