Search This Blog

Thursday, September 11, 2014

Dirodok Madura


Serdang: “Adik saya merayu dilepaskan, tetapi mereka terus memukul dan menikamnya bertubi-tubi hingga isi perutnya hampir terburai,” kata Ghazali Muhamed Hussin, 35, abang kepada Abdullah Mubarakali Muhamed Hussin, 28, yang maut dibunuh Geng Madura dari Indonesia.
Dalam kejadian 11.30 malam kelmarin, mangsa dibelasah sekurang-kurangnya lapan lelaki warga asing itu di Kampung Baru, Batu 12, Jalan Puchong di sini.

Ghazali berkata, kejadian berlaku apabila adiknya berjumpa kumpulan lelaki itu untuk meminjam motosikal berikutan motosikal miliknya rosak.
“Kumpulan lelaki Indonesia itu enggan meminjamkan motosikal mereka hingga menyebabkan berlaku pertengkaran mulut.

“Kumpulan itu kemudiannya bertindak menyerang adik saya menggunakan senjata tajam. Adik saya ditikam dan dikelar berulang kali.

“Lebih kejam lagi apabila isi perut adik saya hampir terburai apabila perutnya dikelar. Dia kemudian dibiarkan mati berlumuran darah di lokasi kejadian,” katanya yang ditemui di bilik mayat Hospital Serdang semalam.
Foto
AHLI keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak ketika menunggu mayat mangsa selesai dibedah siasat di Hospital Serdang.
Difahamkan kumpulan pembunuh itu yang dipercayai menetap di kawasan berkenaan bertindak melarikan diri sejurus kejadian.

“Saya merayu polis memburu kumpulan penjenayah kejam itu yang tergamak menyembelih adik saya hingga mati,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner, Razimi Ahmad mengesahkan menerima laporan berhubung kes bunuh itu.

Menurutnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

“Polis masih melakukan siasatan dan sedang mengesan semua suspek yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dia berkata, kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

No comments:

Post a Comment