Search This Blog

Thursday, September 25, 2014

Cari dalang CCTV dalam tandas


Kuala Lumpur: Orang ramai diminta tidak mensensasikan kejadian khianat pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang ditanam pada dinding tandas wanita sebuah kafetaria di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kerana ia akan mengganggu emosi warga kampus.

Menurut Pegawai Perhubungan Media Bahagian Komunikasi Korporat UIAM Roslan Rusly, pihak pengurusan dan keselamatan UIAM sedang giat melakukan siasatan bagi mencari dalang yang bertanggungjawab selain menyifatkan perbuatan khianat itu tidak wajar dilakukan kerana melanggar hak peribadi pelajar dan kakitangan wanita.

“Siasatan menyeluruh akan terus dijalankan bagi mencari dalang perbuatan ini, malah tulisan berbaur ugutan yang ditulis di cermin tandas selepas pembongkaran itu juga sudah dimaklumkan kepada polis.

“Walaupun kita akui kejadian itu menimbulkan kebimbangan pelajar perempuan dan kakitangan wanita, namun keadaan masih dalam kawalan dan meminta orang ramai jangan mengembar-gemburkan isu ini yang akan mengeruhkan keadaan lagi” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Isnin lalu, UIAM gempar apabila seorang pelajar perempuan menyedari kamera ditanam di dalam dinding tandas berkenaan sebelum pihak pengurusan bertindak memecahkan dinding itu.

Susulan daripada itu, ia menjadi viral dan heboh diperkatakan di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Roslan berkata, pihak pengurusan juga mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Setiap pegawai keselamatan wanita UIAM ditugaskan memeriksa setiap tandas wanita untuk melihat sama ada penyambungan atau objek yang menyerupai CCTV.

“Setakat ini kita mengesahkan hanya satu kejadian penyambungan wayar CCTV di tandas itu.

“Kita juga mengalu-alukan kerjasama semua warga kampus sekiranya terdapat objek yang mencurigakan segera memaklumkan pihak pengurusan,” katanya yang mengesahkan laporan sudah dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada hari kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan masih dijalankan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

No comments:

Post a Comment