Search This Blog

Monday, September 8, 2014

Bot terbalik, 3 rakan hilang


Oleh Na’imah Mohamed dan Nur Saliawati Salberi
Shah Alam: Keriangan sekumpulan kaki pancing menghabiskan cuti hujung minggu dengan keluar memancing bertukar tragedi apabila tiga rakan mereka dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mangsa terbalik, satu kilometer dari Jeti Tanjung Siam, Bestari Jaya, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, ketiga-tiga mangsa yang dikenali sebagai Jamaludin Abu, 55, Md Noor Hassan, 32, dan Hakimi, 36, dikatakan keluar memancing bersama lapan bot lain yang dinaiki rakan mereka. Bagaimanapun, bot mangsa tiba-tiba terbalik sebelum mangsa hilang dibawa arus.


Semua mangsa dari Puchong dan ketika kejadian keadaan cuaca baik, tetapi arus air sungai ketika itu beralun.



Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya Roslan Asri berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 11.21 pagi, pasukan penyelamat dari BBP Bestari Jaya dan BBP Kuala Selangor dikejarkan ke tempat kejadian.


Katanya, rakan mangsa yang lain hanya menyedari bot dinaiki mangsa terbalik selepas menyedari mereka meminta tolong sebelum hilang dibawa arus.


Menurutnya, jarak antara bot mangsa dan rakan yang lain agak jauh membuatkan mereka tidak dapat menyelamatkan mangsa.

“Sehingga jam 7 malam tadi, pihak bomba dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) masih belum menemui mangsa.


“Berikutan cuaca gelap dan arus air deras, operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada jam 7.30 malam dan akan disambung semula jam 8 pagi esok (hari ini),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

No comments:

Post a Comment