Search This Blog

Wednesday, September 17, 2014

Bertindak tegas pegawai kastam terlibat seludup rokok, arak


KUALA LUMPUR 16 Sept. - Pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang terlibat dalam sindiket penyeludupan rokok dan arak perlu dikenakan tindakan tegas sekiranya mahu memastikan gejala tidak bermoral tersebut mampu ditangani segera.
Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah), Jeevan S. Ramamurthy berkata, pihak bertanggungjawab wajar menjalankan siasatan secara menyeluruh membabitkan semua peringkat anggota kastam yang didapati terlibat menerima imbuhan daripada sindiket penyeludupan.
"Pegawai berkuasa tidak perlu berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai yang didapati terlibat dalam kes salah laku disiplin termasuk rasuah dan salah guna kuasa kerana perbuatan ini telah mencemarkan reputasi pasukan keselamatan.
"Tindakan sewajarnya perlu diambil serta-merta dalam memastikan kes menerima imbuhan, rasuah, penyelewengan kuasa melibatkan anggota kastam ini dapat dibendung di samping menyelesaikan kes penyeludupan yang semakin berleluasa di negara kita," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan segelintir pegawai kanan JKDM yang dikatakan sengaja melengah-lengahkan proses pembayaran ganjaran kepada pemberi maklumat sehingga menyebabkan sindiket penyeludupan rokok dan arak semakin berleluasa.
Menurut Jeevan, hukuman yang setimpal perlu dikenakan terhadap anggota yang terlibat agar isu tersebut tidak berlarutan dan dapat memelihara integriti kakitangan jabatan berkenaan.
"Kastam juga harus memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melancarkan segala proses siasatan terhadap anggota yang terlibat untuk disoal siasat," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamizun Khairuddin berkata, JKDM perlu segera melakukan siasatan dalaman melibatkan anggota-anggota yang dilaporkan menerima imbuhan sebagai habuan 'menutup mata.'
"Kakitangan yang terlibat perlu dikenakan tindakan seperti digantung kerja serta-merta atau dibuang kerja jika didapati bersalah.
"Saya yakin hanya segelintir anggota yang terlibat dalam kes ini," katanya.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye pula berpendapat, demi melindungi kepentingan dan masa depan rakyat, Malaysia memerlukan anggota penguat kuasa yang berintegriti.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140917/je_03/Bertindak-tegas-pegawai-kastam-terlibat-seludup-rokok-arak#ixzz3DWRfH3Jk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment