BERA - Masyarakat menyambut baik pelaksanaan Program Berjalan 10,000 Langkah anjuran Pejabat Kesihatan daerah sekali gus berharap agar aktiviti ini diteruskan pada masa akan datang.

Seorang peserta, Siti Esah Garom, 58, berkata, dia teruja untuk menyertai program terbabit selepas melihat kemeriahan dan kesungguhan peserta pelbagai peringkat usia begitu bersemangat menjayakan program kesihatan itu.

Menurutnya, penyertaannya di bawah Persatuan Warga Emas Felda Purun itu turut mendapat sokongan pihak persatuan malah beberapa ahli lain tidak melepaskan peluang mengambil bahagian.

“Alhamdulillah, saya masih mampu berjalan sehingga 10,000 langkah walaupun usia sudah meningkat, lagipun saya memang selalu melakukan aktiviti ini bersama ahli persatuan.

“Aktiviti berjalan kaki ini bukan sahaja mudah malah tidak memerlukan kos yang banyak untuk melakukannya,” katanya selepas Program Berjalan 10,000 Langkah Merdeka da Koi Nok Sihat Peringkat Daerah Bera 2014, di sini.

Seorang lagi peserta, Abdul Rahim Yusoh, 60 berkata, dia tidak ketinggalan menyertai aktiviti ini dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan diri.

Menurut Abdul Rahim, minat terhadap aktiviti berbentuk kesihatan mendorongnya untuk mengambil bahagian dalam program berkenaan dan lebih menyeronokkan apabila dia tidak berasa letih berjalan sejauh itu selepas melihat kesungguhan 500 peserta lain yang turut bersemangat berjalan kaki.

“Saya seronok menyertai aktiviti ini secara beramai-ramai kerana lebih meriah dan bersemangat serta tidak bosan.

“Selain berjalan, kami turut bersenamrobik dan sudah tentu suasana jadi lebih meriah,” katanya.