Search This Blog

Sunday, September 14, 2014

Belanda hantar lebih ramai pakar siasat tragedi MH17



GAMBAR yang dirakam pada 9 September lalu menunjukkan sebahagian serpihan pesawat MH17 yang masih berada di lokasi ia terhempas di kampung Hrabove, kira-kira 80 kilometer dari Donetsk, Ukraine.- AFP


THE HAGUE - Kerajaan Belanda memutuskan menghantar lebih ramai pakar ke Ukraine bagi memperkuatkan pasukan penyiasat tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MH17) yang jatuh terhempas, kata Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte kelmarin.
Agensi berita Xinhua melaporkan, pakar tersebut akan tiba di bandar Kharkiv yang dikuasai oleh kerajaan Ukraine dan terletak berdekatan dengan lokasi tragedi.
Mereka dijangka menyertai satu pasukan sedia ada yang terdiri daripada 10 hingga 15 anggota di situ selepas kerajaan Belanda mengumumkan menangguhkan kerja-kerja penyiasatan pada 6 Ogos lalu berikutan keadaan keselamatan yang semakin buruk ekoran konflik antara kerajaan Ukraine dan kumpulan pemisah pro-Rusia.
"Kita akan melakukan apa sahaja untuk masuk ke kawasan lokasi pesawat MH17 terhempas bagi menyambung semula kerja-kerja penyiasatan yang sebelum ini terpaksa dihentikan ekoran masalah keselamatan," kata Rutte yang dilaporkan oleh Xinhua.
"Dengan adanya lebih ramai pakar yang kembali semula ke lokasi tragedi, kita akan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada dan melakukan siasatan dengan lebih cepat," tambah beliau.
Pesawat MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine yang dikawal oleh kumpulan pemisah pro-Rusia pada 17 Julai lalu dan menyebabkan kematian 298 orang dengan kira-kira dua pertiga terdiri daripada warganegara Belanda.
Kerajaan Ukraine dan negara Barat mendakwa kumpulan pemisah menembak jatuh pesawat berkenaan dengan peluru berpandu BUK darat ke udara yang dibekalkan oleh Rusia, manakala Moscow dan kumpulan pemisah menafikan terbabit sebaliknya menuding jari kepada Kiev.
Menyentuh mengenai perkembangan persetujuan gencatan senjata yang dicapai antara Ukraine dan kumpulan pemisah, Rutte berkata, keadaan keselamatan di kawasan lokasi masih belum menentu kerana gencatan itu agak rapuh. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0914&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3DG8SL85X 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment