Bas dinaiki 30 pelajar Usim terbabas di Ulu Yam Baharu sekitar jam 6.40 petang.
Bas dinaiki 30 pelajar Usim terbabas di Ulu Yam Baharu sekitar jam 6.40 petang.
SELAYANG - Sebuah bas membawa 30 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dari arah Ulu Yam menghala pulang ke Nilai terbabas merempuh pembahagi Jalan Sungai Tua-Ulu Yam berhampiran Empangan Batu, petang semalam.

Seramai 11 mangsa termasuk dua pemandu yang mengalami kecederaan masing-masing di bahagian leher dan kaki telah dikejarkan ke Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan sebanyak dua bas dinaiki pelajar sementara tenaga pengajar menggunakan kenderaan sendiri baru sahaja selesai aktiviti di kawasan berkenaan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba Selayang, Azrul Khairi Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati kenderaan gagal dikawal sewaktu menuruni bukit akibat kegagalan brek berfungsi.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mangsa dari dalam bas.

“Pihak bomba menerima panggilan pada jam 6.42 dan tiba di lokasi pada jam 6.51 petang mendapati terdapat beberapa pelajar yang masih berada dalam bas.

“Tiada mangsa tersepit dan alami kecederaan serius,” katanya kepada Sinar Harian, semalamSekitar jam 9 malam anggota bomba masih berada di lokasi untuk pemeriksaan dan siasatan.
Insiden menyebabkan gangguan trafik sejauh dua kilometer dari kedua-dua arah.