Search This Blog

Wednesday, September 17, 2014

Bapa tekad teruskan kes ke mahkamah


SEREMBAN 16 Sept. - "Saya akan teruskan kes ini di mahkamah biarpun anak sulung saya telah meninggal dunia kerana ini adalah pengajaran buat pengusaha itu agar mementingkan aspek keselamatan."
Itu kata Lans Koperal Ramlan Pardi, 50, selepas anak sulungnya, Muhamad Hidayat Ramlan, 23, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar di sini pagi ini.
Muhamad Hidayat meninggal dunia kira-kira pukul 5.40 pagi selepas tujuh hari koma di hospital itu akibat kegagalan fungsi paru-paru selepas dilanggar 'banana boat' di Pantai Telok Kemang, Port Dickson pada 7 September lalu.
Ramlan yang bertugas dalam Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras, Kuala Lumpur berkata, tindakan mahkamah ke atas pengusaha bot itu pada masa yang sama memberikan kesedaran kepada pengusaha lain agar insiden ini tidak berlaku kepada orang lain.
"Ini soal keselamatan, tidak bolehlah ambil ringan kerana melibatkan nyawa orang. Saya difahamkan oleh pengusaha bot itu sudah ada kes lemas dua minggu lalu akibat perkara yang sama.
"Ini bukan untuk saya tapi untuk kepentingan umum, mereka tidak ada lesen membawa bot tak ada aspek keselamatan. Jadi kalau berlaku sesuatu hal awam siapa nak salahkan?," katanya ketika ditemui di Unit Forensik hospital.
Ramlan berkata, berdasarkan maklumat yang diterima oleh pegawai perubatan hospital berkenaan, anaknya meninggal dunia ekoran paru-paru kanannya dipenuhi air.
Semalam pemandu 'banana bot' berkenaan Mohd. Amirol Yasli, 21, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban di sini atas pertuduhan memandu bot secara cuai sehingga mendatangkan kecederaan parah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Supritendan Zulkifli Adamsah berkata, siasatan terhadap pemandu bot terbabit akan disemak semula berikutan kematian mangsa.
Dalam kejadian pukul 12 tengah hari, 7 September lalu, Muhamad Hidayat yang mandi di pantai terbabit mengalami kecederaan pada rusuk kiri, kepala dan tangan apabila dilanggar bot itu.
Jenazah Muhamad Hidayat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana selepas dibawa pulang di Kuarters Perumahan Polis, Desa Baiduri, Kuala Lumpur.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140917/je_06/Bapa-tekad-teruskan-kes-ke-mahkamah#ixzz3DWRv1M8l
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment