Search This Blog

Sunday, September 21, 2014

Banjir terus lumpuhkan Manila


SEBAHAGIAN mangsa banjir membawa beberapa barangan peribadi menyeberangi jalan yang dipenuhi air selepas berlakunya Taufan Fung-wong di wilayah Rizal, timur Manila, semalam. - REUTERS
MANILA 20 Sept. - Beribu-ribu orang penduduk yang terjejas akibat Taufan Fung-wong yang melanda ibu negara ini pulang ke rumah masing-masing yang kebanyakannya dipenuhi lumpur hari ini, ketika angka korban meningkat kepada lima orang.
Menurut Majlis Pengurusan Dan Pengurangan Risiko Bencana Filipina, hujan lebat telah mengakibatkan bandar metropolis yang memiliki penduduk berjumlah 12 juta orang itu lumpuh dan memaksa hampir 83,000 penduduk berpindah.
"Kami tiada pilihan selain daripada pulang ke rumah. Kami tidak mampu untuk menyewa rumah lain," kata seorang mangsa banjir Lovi Barbosa, 35.
Jabatan kaji cuaca negara melaporkan, hujan berterusan selama tiga minggu di sekitar Manila sampai ke kemuncaknya semalam dan satu lagi taufan yang tidak begitu kuat dijangka berlaku di Pulau Luzon, kira-kira 400 kilometer dari Manila.
Sementara itu, perkhidmatan kaji cuaca menjangkakan Taufan Fung-wong akan membadai Taiwan esok.
Pengarah Eksekutif Majlis Bencana, Alexander Pama berkata, sehingga kini angka korban sudah meningkat kepada lima orang, manakala seorang lagi mangsa dilaporkan hilang.
"Taufan turut mengakibatkan bekalan elektrik terputus di kawasan utara Luzon, selain mengakibatkan beberapa buah feri kecil musnah di kawasan Pelabuhan Cebu," ujar Pama.
Secara purata dianggarkan 20 buah taufan melanda negara ini setiap tahun dan menyebabkan ratusan orang terkorban serta berjuta lagi hidup dalam keadaan sengsara. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140921/lu_04/Banjir-terus-lumpuhkan-Manila#ixzz3DtyPui3p
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment