Search This Blog

Sunday, September 7, 2014

Angkara jaga tak hirau aduan


Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Seremban: Tindakan beberapa pengawal keselamatan di Taman Bukit Jed, di sini, yang tidak mempedulikan aduan seorang penduduk untuk memeriksa rumahnya yang disyaki dimasuki perompak mengundang padah apabila lelaki itu ditetak dengan parang sebelum disamun.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 3 pagi, semalam, mangsa, S Selvam, 40 yang sedang tidur bersama keluarganya dikejutkan bunyi daripada bumbung rumahnya.

Sumber itu berkata, mangsa yang mengesyaki ada individu mahu memasuki kediaman bergegas ke pondok pengawal keselamatan bagi memaklumkan kejadian itu, namun kecewa apabila aduannya tidak dipedulikan.

“Pengawal keselamatan itu memberi alasan tiada apa berlaku menyebabkan mangsa berpatah balik ke rumah sebelum menghubungi pihak polis.

“Ketika itu, lima lelaki berusia antara 19 hingga 30 tahun memasuki rumah mangsa dengan bersenjatakan parang serta kuku kambing.

“Dalam pada itu berlaku pergelutan apabila mangsa ditetak di lengan dan jari yang menyebabkannya cedera parah,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu, polis membuat panggilan semula ke rumah mangsa, namun seorang suspek menjawab panggilan dengan memaklumkan tiada apa berlaku.

“Bimbang kejadian itu, anggota polis bergegas ke rumah mangsa dan sebaik tiba, mangsa dilihat mengerang kesakitan akibat ditetak.

“Suspek turut melarikan telefon bimbit, beg tangan, wang tunai dan barangan kemas milik isteri mangsa bernilai RM10,000,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu lagi, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini untuk rawatan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Superintendan Khoo Leng Huat berkata, anggotanya mengejar semua suspek hingga ke kawasan semak sejauh satu kilometer.

Katanya, tiga suspek berusia 19 tahun dicekup, namun dua lagi melarikan diri.

“Ketika ditahan, polis menemui beg tangan dan telefon bimbit mangsa,” katanya tiga suspek terbabit ditahan reman enam hari sehingga Khamis ini.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/07

No comments:

Post a Comment