Search This Blog

Monday, September 8, 2014

Anggota tentera kerugian RM30,000 rumah dipecah masuk empat lelaki berparang


MARAN 6 Sept. - Seorang anggota tentera mengalami kerugian lebih RM30,000 setelah rumahnya di Kampung Kandis Seberang, Chenor dekat sini dipecah masuk oleh empat lelaki bertopeng bersenjatakan parang awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Supritendan Sulaiman A Hamid berkata, dalam kejadian pukul 4 pagi itu mangsa bersama empat lagi ahli keluarga termasuk bayinya yang baru berusia lima hari sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan suspek.
"Suspek kemudiannya bertindak mengacukan parang ke arah mangsa sebelum meminta menyerahkan barangan berharga.
"Malah, suspek turut bertindak mengikat mangsa (28 tahun) bersama isterinya, 29, dan adik ipar perempuannya, 26, sebelum ditutup dengan kain selimut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya anak perempuan mangsa berusia dua tahun dan bayi lelakinya yang baru berusia lima hari tidak diapa-apakan.
Beliau berkata, suspek selepas itu menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan barang kemas bernilai RM30,000, dua buah telefon bimbit dan wang tunai RM350.
Kesemua suspek yang dipercayai warga asing sebelum itu masuk ke rumah berkenaan dengan memotong tingkap dapur rumah itu kemudian melarikan diri ke arah belakang rumah, katanya.
Katanya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140906/je_06/Anggota-tentera-kerugian-RM30000-rumah-dipecah-masuk-empat-lelaki-berparang#ixzz3CfUBI3If
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment