KUANTAN - Seorang ibu resah dan bimbang apabila mendapat tahu anak sulungnya yang dihantar belajar dan tinggal di asrama sebuah pusat tahfiz di sini hilang dipercayai selepas keluar ke bandar Kuantan bersama rakannya sejak enam hari lalu.

Lebih membimbangkan Siti Hajar Abdul Razak, 32, anaknya Mohamad Nazri Mohd Adnan, 13 mengidap penyakit asma agak kronik dan bergantung kepada ubat.

Kehilangan pelajar itu disedari Selasa lalu ketika Siti Hajar datang ke asrama pusat tahfiz itu untuk menghantar wang belanja bagaimana pun dia dimaklumkan anaknya tiada di asrama.

Menurutnya, dia menghubungi salah seorang rakan anaknya yang keluar bersama namun diberitahu mereka  terpisah di Terminal Bas Rapid Kuantan, Jalan Pasar Baru di sini selepas masing-masing menaiki bas untuk pulang ke kampung.

“Menurut rakannya, dia tidak kembali ke asrama sejak itu dan mereka beranggapan Mohamad Nazri pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perasing Jaya, Kemaman, Terengganu, semalam.

Siti Hajar berkata, anaknya mula belajar di pusat itu sejak awal Ramadan lalu dan sebelum ini dia belajar di Sekolah Menengah Neram, Kemaman.

“Disebabkan masalah pengangkutan, dia dipindahkan ke pusat tahfiz itu untuk belajar Al-Quran dan ilmu agama memandangkan di situ disediakan kemudahan asrama,” katanya.

Dia berkata, selepas menyedari kehilangan itu, dia dan keluarga ada mencari termasuk menghubungi saudara mara dan rakan-rakan anaknya kalau-kalau mereka ternampak atau mengetahui di mana Mohamad Nazri  berada.

“Namun setakat ini kebanyakan mereka yang dihubungi memaklumkan tidak pernah bertemu atau tahu anak saya berada sepanjang tempoh tersebut malah dia juga langsung tidak menghubungi keluarga,” katanya.

Menurutnya, dia amat bimbang keselamatan anaknya itu kerana Mohamad Nazri tidak pernah keluar sendirian.

“Saya juga khuatir masalah kesihatannya kerana dia bergantung kepada ubat dan alahan kepada cuaca sejuk.

“Saya ada diberitahu olehnya sebelum ini bahawa ubat asma yang digunakan hampir kehabisan dan meminta beli yang baharu,” katanya.

Dia berkata, anaknya juga tidak mempunyai wang ketika itu.

“Bimbang keselamatannya selepas menghilangkan diri beberapa hari, saya mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Beserah malam kelmarin.

“Saya merayu kepada  Mohamad Nazri supaya pulang ke asrama atau menghubungi kami dengan segera kerana semua keluarga amat bimbang keselamatannya.

“Saya juga meminta kerjasama orang ramai yang ternampak atau mengetahui maklumat tentang anaknya itu supaya menghubungi talian 019-9077094 (Siti Hajar) atau 019-7047839 (Rosmawati) dengan segera,” katanya.