SUNGAI PETANI - Sebanyak 56 ketulan mampat daun kering disyaki ganja  seberat 54 kilogram bernilai RM86,400 dirampas sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, 24 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Petani, Superintendan Mohd Sabri Muhammad@Ahmad berkata, ketulan mampat itu ditemui dalam sebuah rumah di Taman Sutera di sini, dalam serbuan Ops Cantas dilakukan pada jam 8.40 malam.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 33 tahun turut ditahan dalam operasi berkenaan.
“Sebanyak 24 ketulan mampat daun kering itu dibalut dengan plastik lut sinar ditemui dalam satu plastik hitam besar.

“Manakala satu plastik hitam lagi mengandungi 21 ketulan mampat dibalut plastik lut sinar dan 11 ketulan mampat dibalut aluminium warna putih,” katanya.

Mohd Sabri berkata, ketulan mampat ganja itu ditemui atas lantai di ruang tamu di rumah yang dipercayai disewa untuk menjalankan kegiatan terbabit.

Beliau berkata, polis turut merampas dua kereta yang dianggarkan bernilai RM25,000.

Rampasan dibuat di bawah Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 Akta 340.

Katanya, suspek ditahan reman selama enam hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan polis  giat mencari saki-baki individu yang terlibat dalam kegiatan terbabit.

"Dipercayai dadah terbabit diedarkan suspek untuk pasaran sekitar utara Semenanjung Malaysia," katanya.