Search This Blog

Monday, September 8, 2014

36,000 jemaah India terkandas


Seorang pemuda mengiringi ibunya yang memakai kalungan bunga memasuki ruang berlepas di sebuah lapangan terbang di New Delhi, India untuk menunaikan haji di Mekah. - AGENSI
MUMBAI 7 Sept. - Kira-kira 36,000 jemaah haji India yang menggunakan khidmat syarikat ejen pelancongan swasta untuk menunaikan haji ke Mekah terkandas apabila visa mereka tidak diluluskan oleh Kedutaan Arab Saudi di Delhi, apabila pasport mereka tidak boleh dibaca oleh mesin imbasan baharu yang mula diperkenalkan oleh kerajaan negara itu.
Jemaah haji telah membayar 2.25 juta rupee (RM120,000) kepada pihak berkuasa Arab Saudi untuk tempat penginapan dan makanan serta kemudahan lain untuk menuniakan haji musim ini, namun ekoran visa mereka tidak diluluskan, mereka tidak dapat menunaikan haji.
Sebanyak 36,000 orang jemaah menggunakan khidmat ejen pelancongan swasta dan 100,020 orang jemaah lagi pergi melalui Jawatankuasa Haji India.
Sebelum ini, kejadian yang sama berlaku ke atas 25,000 jemaah haji melalui Jawatankuasa Haji India, tetapi isu tersebut dapat diselesaikan sejurus Jawatankuasa Ketua Pegawai Eksekutif, Qaisar Shamim berjumpa Menteri Luar Negara, Sushma Swaraj bagi menyelesaikan masalah itu dengan Kedutaan Arab Saudi.
Menurut salah seorang jemaah yang terbabit, Iqbal Shekhani, beliau bersama empat lagi ahli keluarganya dijadual akan berlepas ke Arab Saudi hari ini, namun telah diberitahu oleh ejen pelancongan bahawa visa mereka tidak diluluskan.
Tambah Shekhani, beliau tidak menghadapi masalah melakukan perjalanan ke Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara lain menggunakan pasport yang sama pada 2009.
"Jika kedutaan (Arab Saudi) boleh menyelesaikan masalah serupa yang dihadapi oleh jemaah haji yang pergi melalui Jawatankuasa Haji India, maka masalah yang dihadapi oleh jemaah swasta juga boleh diselesaikan,", kata salah seorang pengendali ejen pelancongan. - AGENSI


Artikel Utusan Melayu (M) Bhd 
 

No comments:

Post a Comment