GUA MUSANG - Sebanyak 30 rumah penduduk di beberapa kampung sekitar bandar ini rosak teruk dilanda ribut, petang kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan kerana penghuni rumah berkenaan masing-masing menyelamatkan diri.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Rahmat, Kampung Baru, Kampung Kerinting, Jalan Besar, Kampung Lembaga, Jalan Masjid dan Tepi Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

Seorang peniaga kedai makan di Tepi Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Hasnah Deraman, 42, berkata, ketika kejadian dia berada dalam kedainya dan bersiap untuk menutup premis.

Menurutnya, tiba-tiba kedainya bergoyang sebelum atap tercabut dilanda ribut dan hujan lebat menyebabkan ruangan dalam kedai habis basah.

“Saya panik melihat kejadian yang berlaku terlalu pantas. Nasib baik saya cepat berlindung di bahagian bumbung kedai yang masih terselamat.

“Kejadian itu pertama kali berlaku dan saya juga tidak mampu untuk membaiki kerosakan dialami dalam masa terdekat ini kerana berniaga makanan hanya sekadar cukup makan saja,” katanya.

Katanya, dalam masa sama, bekalan elektrik di seluruh bandar ini terputus menyebabkan penduduk terpaksa bergelap dalam masa 10 minit, tetapi bersyukur kerana terselamat.

Seorang lagi penduduk Kampung Kerinting, Syukri Abdul Rahman, 30, pula berkata, dia tidak menyangka rumahnya musnah dalam sekelip mata akibat dilanda ribut.

“Saya yang berada di rumah terkejut dengan kejadian itu, namun tetap bersyukur kepada Tuhan kerana masih selamat walaupun atap berterbangan sekitar rumah,” katanya.

Sementara itu, Adun Galas, Ab Aziz Yusoff berkata, beliau turut bersimpati dengan nasib semua mangsa ribut yang berdepan dengan masalah kerosakan rumah.

Beliau berkata, dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang penduduk harus menjaga keselamatan diri dan keluarga kerana kerap berlaku kejadian ribut.

“Kita akan membuat bancian secara menyeluruh bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menilai kerosakan sebelum menyalurkan bantuan secepat mungkin,” katanya.