Search This Blog

Thursday, September 25, 2014

22 rakyat dipertimbang beku akaun, aset


KUALA LUMPUR 24 Sept. - Sekurang-kurangnya 22 rakyat Malaysia akan disiasat untuk dibekukan akaun dan aset kerana terbabit dengan kegiatan keganasan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda, Taliban dan Kumpulan Negara Islam (IS).
Difahamkan, kesemua rakyat Malaysia itu adalah antara yang telah dikenal pasti terlibat dengan aktiviti berkenaan di negara bergolak, Syria.
Sumber keselamatan berkata, pihaknya sedang menyiasat sejauh mana penglibatan kesemua individu terlibat dengan IS dan jika terbukti, akaun serta aset milik mereka akan dibekukan segera.
"Dianggarkan kini seramai 30 rakyat Malaysia berada di negara bergolak seperti Syria dan Iraq untuk berperang dengan tentera pemberontak dan 22 daripada itu telah dikenal pasti.
"Ada di antara mereka telah meninggal dunia dan polis kini sedang mengesan rakyat tempatan yang lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan semalam berkata, berkuat kuasa 10 September lalu, Malaysia akan membekukan aset dan dana milik individu atau kumpulan yang terbabit dengan aktiviti keganasan.
Perkara itu dilaksana mengikut pewartaan Perintah Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) (al-Qaeda dan Taliban) bagi membanteras keganasan antarabangsa.
Kementerian itu menyarankan institusi (bank dan parti politik) di Malaysia menyemak dan membandingkan senarai individu dan kumpulan yang berada dalam data masing-masing dengan senarai yang diselenggara Jawatankuasa 1267 dan Jawatankuasa 1988 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Dalam perkembangan sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebelum ini seramai 10 warga Malaysia disenarai dalam senarai yang diselenggara Jawatankuasa 1267 dan Jawatankuasa 1988 UNSC.
Katanya, kesemua mereka adalah anggota kumpulan pengganas yang terdiri daripada sembilan anggota Jemaah Islamiah (JI) dan seorang Kumpulan Militan Malaysia (KMM).
"Daripada 10 yang terlibat itu, dua daripadanya telah meninggal dunia iaitu Azhari Husein dan Noordin Md. Top yang ditembak mati di Indonesia. Seorang lagi adalah Zulkifly Hir yang bersembunyi di Indonesia.
"Dua lagi juga dikesan masih berada di Indonesia dan seorang individu bernama Yazid Sufaat telah ditangkap bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada Februari tahun lalu.
"Lima lagi rakyat Malaysia telah dikeluarkan dalam senarai tersebut atas cadangan PDRM setelah dibebaskan dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) apabila dipercayai pulih sepenuhnya," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140925/je_02/22-rakyat-dipertimbang-beku-akaun-aset#ixzz3EGlD0q5h
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment