JITRA - Seorang lelaki warga emas maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta pada kejadian jam 10 malam, di Kilometer 12.2 Lebuhraya Utara-Selantan arah Utara, di sini, malam semalam.

Mangsa, Ismail Abdullah, 72, dari Kampung Tok Jalai, Taman Jalai Jaya, dekat sini, yang menunggang motosikal seorang diri dipercayai digesel sebelum tercampak ke bahagian kiri jalan.

Menurut saksi yang enggan dikenali berkata, difahamkan motosikal mangsa tercampak ke bahagian lorong kiri jalan sebelum diseret kira-kira 100 meter oleh sebuah lagi kereta dari arah sama.

“Ketika kejadian, mangsa difahamkan sudah terjatuh akibat digesel sebuah kereta sebelum motosikalnya diseret sebuah lagi kereta jenis Proton Iswara.

"Dipercayai kereta yang menggesel mangsa terus melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, mangsa disyaki digesel kenderaan lain menyebabkannya terjatuh di tepi lebuh raya.

“Pada masa sama sebuah kereta jenis Proton Iswara yang ketika itu berada di lorong kanan telah melanggar dan mengheret motosikal mangsa yang terperosok di bahagian bawah kereta.

“Siasatan juga mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai langgar lari dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.