WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Ogos 2014
SINDIKET penipuan ‘love scam’ yang didalangi warga Afrika mensasarkan golongan wanita tempatan kerana begitu mudah mempercayai orang yang baharu dikenali, secara tidak langsung menjadi mangsa kepada sindiket berkenaan.
Sasaran kumpulan penjenayah itu adalah ibu tunggal dan golongan wanita yang kesunyian.
Sindiket berkenaan hanya menggunakan ayat-ayat manis dan romantis menerusi medium internet (laman sosial dan emel), hingga lama- kelamaan mangsa terpedaya.
Mangsa juga mudah mempercayai sikap mesra, penuh kasih-sayang yang ditunjukkan kumpulan penjenayah itu walaupun hanya dalam dunia maya, namun, bagi mangsa mereka tidak kisah asalkan tahu ada seseorang menyintai diri mereka.
Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Siber & Multimedia (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Kamarudin Md Din berkata, mengikut statistik sepanjang tahun 2013, sebanyak 1,095 kes dilaporkan, membabitkan nilai kerugian RM35.6 juta.
“Sehingga Mei tahun ini pula, sebanyak 368 kes dilaporkan, membabitkan nilai kerugian RM17.7 juta,” katanya.
Menurutnya kaedah menipu yang sering digunakan bermula apabila suspek yang menyamar sebagai ahli perniagaan atau ahli politik mahu bertemu mangsa dengan sanggup datang ke negara ini kononnya untuk berbincang soal perkahwinan.
“Mereka akan membuat helah kononnya ditahan pihak imigresen di lapangan terbang kerana membawa sejumlah wang yang tidak diisytihar.
"Lazimnya rakan suspek akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai imigresen yang kemudiannya meminta sejumlah wang jika mahu teman lelaki mangsa dibebaskan,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa segera mendepositkan sejumlah wang melalui nombor akaun yang diberikan, namun hanya disedari ditipu selepas rakan yang ditunggu tidak muncul sebagaimana dijanjikan.
Kata Kamarudin, sindiket yang menggunakan ayat-ayat cinta untuk mencairkan hati wanita itu turut menggunakan bungkusan mengandungi wang puluhan ribu ringgit.
"Kaedahnya sama, bungkusan ditahan di lapangan terbang dan mangsa diminta mendepositkan sejumlah wang untuk mendapatkan bungkusan yang dihantar.
“Jumlah tertinggi yang menjadi mangsa sindiket ini adalah wanita berumur 31 hingga 40 tahun sama ada belum berkahwin, janda ataupun mereka mempunyai krisis rumah tangga,” katanya.
Menurut Kamarudin, suspek yang pernah ditahan sebelum ini mengakui pernah menipu seorang wanita bergelar janda sehingga mencecah jutaan ringgit.
“Bagi mengelak daripada menjadi mangsa sindiket ini, saya mengingatkan orang ramai khususnya wanita agar menyemak latar belakang kenalan luar negara yang dikenali menerusi internet sebelum menerimanya sebagai rakan. Beringat sebelum kena,” katanya.
Beliau turut meminta masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika curiga dengan aktiviti warga asing di kawasan penempatan mereka yang sekali gus dapat mengesan sebarang perbuatan jenayah membabitkan mereka.
“Kita turut menggempur beberapa kondominium atau kawasan kediaman yang dipercayai penempatan warga Afrika bagi mengesan kegiatan jenayah dilakukan warga negara berkenaan dalam Ops Tiong yang dijalankan secara berterusan,” katanya.
No comments:
Post a Comment