Search This Blog

Thursday, August 7, 2014

‘Vitamin dadah’


Sepang: Cubaan seorang lelaki warga Iran menyembunyikan dadah di dalam botol serbuk protein bina badan di bagasinya gagal apabila tindakannya itu dihidu pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Balai Ketibaan Kastam, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Sabtu lalu.
Pemeriksaan lanjut ke atas bagasi suspek berusia 27 tahun itu menemui dadah jenis methamphetamine seberat 9.85 kg bernilai RM1.87 juta yang disembunyikan di dalam dua botol plastik dan satu bungkusan plastik. 
Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, siasatan awal mendapati, suspek berkenaan sudah memasuki Malaysia sebanyak lima kali namun tidak dapat dipastikan sama ada terbabit dalam penyeludupan dadah sebelum ini. 

Beliau berkata, dadah berkenaan ditemui selepas anggotanya mengesan dua botol plastik dan satu bungkusan di dalam bagasi di bawa suspek sebelum membuka beg berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.
Foto
CHIK Omar (tengah) menunjukkan dadah yang disembunyikan dalam bekas protein bina badan yang dirampas di KLIA pada 2 Ogos lalu.

“Sebaik dibuka, kami menemui dua botol plastik dan bungkusan yang tertera produk sumber protein jenama terkemuka yang sering dijadikan makanan tambahan bagi ahli bina badan.

“Namun sebaik diperiksa kami menemui serbuk putih di dalamnya yang disyaki dadah jenis methamphetamine sedangkan botol dan bungkusan luaran tertera sumber protein berperisa coklat,” katanya pada sidang media di sini semalam. 

Katanya, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. 

Chik Omar berkata, suspek juga mengakui seorang ahli bina badan berdasarkan susuk badannya yang berisi dan tegap. 

Dalam perkembangan sama, Chik Omar berkata, kes rampasan dadah itu adalah kes keempat direkodkan Kastam KLIA sejak Julai hingga 2 Ogos lalu membabitkan rampasan keseluruhan 15.56 kilogram (kg) dadah bernilai RM2.97 juta. 

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, seramai tiga suspek warga asing ditahan termasuk warga Iran berkenaan selain masing-masing seorang warga Thailand dan Nigeria berusia antara 22 hingga 34 tahun. 

“Kejayaan rampasan bagi keempat-empat kes itu hasil pemantauan dan pemeriksaan berterusan ke atas penumpang yang tiba di KLIA serta maklumat awam. 

“Kes pertama dikesan kira-kira jam 9.30 pagi 1 Julai lalu di gudang MAS Kargo KLIA selepas pemeriksaan lanjut terhadap sebuah parcel berjaya menemui lima tin makanan diisi bahan jernih kristal jenis methamphetamine seberat 1.28 kg bernilai RM243,960,” katanya. 

Katanya, kes kedua dikesan kira-kira jam 8.30 malam pada hari sama selepas pasukan Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA menemui dadah jenis kokain seberat 1.67 kg bernilai RM334,400 sebaik memeriksa bagasi seorang wanita warga Thailand berusia 22 tahun di sebuah hotel di Kuala Lumpur. 

Manakala, bagi kes ketiga pula, seorang lelaki warga Nigeria berusia 34 tahun ditahan selepas imbasan dan pemeriksaan rapi ke atas bagasinya berjaya menemui dadah jenis methamphetamine seberat 2.75 kg bernilai RM522,500. 
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

No comments:

Post a Comment