KOTA BHARU - Padah mengugut untuk membunuh ibunya kerana wang, seorang penganggur dihukum penjara dua tahun oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad terhadap Mohd Zaki Mohd Zulkefli, 26, dari Kampung Chekok Tengah, Jalan Panji, di sini.

Tertuduh mengaku salah didakwa mengugut dengan mengacu pisau kepada Ani Daud, 48, di alamat sama pada jam 5 petang, 12 Jun lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu berada di rumah dan tiba-tiba anak bongsunya mengamuk kerana pengadu tidak memberi duit yang diminta olehnya. Tertuduh mengamuk dan mengugut untuk membunuh mangsa sambil berkata “nak duit, kalu ma tok buwi nok goni” (nak duit, kalau
mak tidak bagi nak benda ini) sambil meletakkan pisau di dadah pengadu.

Pengadu menjadi takut kerana sebelum ini tertuduh pernah memukulnya. Pengadu juga takut anaknya itu membunuhnya. Sebelum ini, anaknya itu pernah mengugut untuk membakar rumah dan tertuduh pernah menyimbah minyak tanah ke rumah pengadu tetapi membatalkan niat itu apabila pengadu memberinya wang.

Hukuman diputuskan Nik Habri berdasarkan keterangan impak daripada ibu tertuduh dan beliau turut menasihatkan Mohd Zaki supaya tidak mendendami ibunya dan menjadikan hukuman itu sebagai pengajaran.

“Hukuman ini adalah permintaan daripada ibu kamu. Tidak ada ibu yang jahat pada anaknya, kalaupun ada, mesti ada sebabnya. Dengan ibu bapa kata ‘uhh’ pun tidak boleh, lagikan ugut hendak bunuh. Sepatutnya kamu yang menjaga ibu kamu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, dua lagi seorang penganggur, Yusrizan Yusoff, 27, dan Mohd Rizalman Jusoh, 34, juga dihukum penjara dua tahun oleh mahkamah sama atas kesalahan ugutan bunuh.

Yusrizan mengaku salah mengugut bunuh bapanya, Yusoff Saman, 72, dengan berkata ‘kalu mu tok beri duit aku bubuh, aku katok (pukul) mu’ di alamat Kampung Pangkal Kuang, Ketereh, di sini, pada jam. 3.30 petang, 15 Jun lalu.

Sementara, Mohd Rizalman pula mengaku didakwa mengugut bapa saudaranya, Mohd Noor Awang, 63, dengan mengacu parang dan berkata ‘aku nok bunuh puak mu bertiga’ di sebuah rumah di Kampung Berangan Kadok, Ketereh, di sini, pada jam 3.30 pagi, 11 Julai lalu.

Kes-kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri dan Noor Dayana Mohamad, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan.