• Anggota bomba dan penyelamat mengambil masa 15 minit untuk mengawal kebakaran yang memusnahkan sebuah bengkel membaiki kenderaan.Anggota bomba dan penyelamat mengambil masa 15 minit untuk mengawal kebakaran yang memusnahkan sebuah bengkel membaiki kenderaan.

GEORGETOWN - Tujuh kenderaan termasuk tiga kereta mewah yang diletakkan di sebuah bengkel di Jalan Perlis, Georgetown di sini hangus terbakar dalam satu kejadian yang berlaku awal pagi semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.45 pagi itu, kesemua kenderaan terbabit yang telah siap diperbaiki tidak dapat diselamatkan apabila api yang dikatakan berpunca dari arah depan bengkel berkenaan merebak cepat sehingga memusnahkan hampir 70 peratus bengkel berkenaan.

Komander Operasi Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Azrinnoor Ahmad berkata, pihaknya yang menerima panggilan kebakaran kira-kira jam 2.51 pagi itu bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, tiga jentera bomba berserta 20 anggota dikerahkan memadamkan kebakaran berkenaan dan api berjaya dikawal 15 minit kemudian.

Azrinnoor berkata, pihaknya masih lagi menyiasat punca dan jumlah kerugian yang dialami akibat kejadian itu.