Search This Blog

Wednesday, August 27, 2014

Tujuh bas ‘hantu’


Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Kuala Lumpur: Taktik menggunakan bas kilang dan bas henti-henti bagi membawa pekerja asing tanpa dokumen ke tapak pembinaan terbongkar selepas Jabatan Imigresen Putrajaya memeriksa lima bas kilang berdekatan Damansara Heights, semalam.

Dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 6.15 hingga 9.20 pagi itu, 20 anggota Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Putrajaya menahan lima bas kilang dan dua bas henti-henti itu dengan bantuan tiga pegawai dan 30 anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).


Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Putrajaya, Abd Halim Ismail berkata, pihaknya memeriksa 279 orang warga asing dan hasilnya, 165 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.



“Seramai 103 daripada mereka warga Bangladesh, 43 warga Indonesia termasuk dua wanita, sembilan warga Myanmar dan masing-masing lima warga Pakistan dan Ghana.


“Mereka berusia antara 17 hingga 46 tahun dan ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) atas kesalahan imigresen,” katanya kepada Harian Metro.


Katanya, siasatan awal mendapati majikan mereka menyediakan bas kilang selain meminta mereka menggunakan bas henti - henti bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa.

Menurutnya, semua warga asing itu dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Semenyih dan Putrajaya sebelum ditahan reman selama 14 hari.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/27

No comments:

Post a Comment