Search This Blog

Tuesday, August 5, 2014

Tikam rakan sering buli


Oleh Sarah Zulkifli
Kuala Lumpur: Seorang bekas pengawal keselamatan dipenjara 80 bulan oleh Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan cubaan membunuh rakannya di Jalan Raja Laut, sehari sebelum Aidilfitri.

Hakim Zainol Rashid Hussain menjatuhkan hukuman itu apabila tertuduh, Ardi Jemain, 51, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula pada tarikh tertuduh ditangkap, iaitu 27 Julai lalu.

Zainol Rashid dalam penghakimannya berkata, Andi sepatutnya patuh pada undang-undang dan melaporkan pada pihak berkuasa jika mempunyai sebarang masalah, bukan bertindak sendiri.

Mengikut pertuduhan, Andi didakwa melakukan cubaan bunuh terhadap bekas pemandu lori, Mohd Nizam Mohd Zaini, 41, di Tingkat 3, di Jalan Raja Laut pada jam 5.30 pagi, 27 Julai lalu.

Dia yang berasal dari Kuching, Sarawak didakwa di bawah Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada seseorang boleh dikenakan penjara hingga 20 tahun.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Andi memohon mahkamah meringankan hukuman kerana dia mempunyai lapan orang anak, selain menyara orang tuanya termasuk mentua.

Ketika ditanya mengapa menikam Mohd Nizam, Andi memaklumkan dia berbuat demikian disebabkan tidak tahan dengan kerenah mangsa yang sering membuli dan mempersendakannya.

“Mangsa juga mempunyai hubungan sulit dengan isteri saya,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, seorang pengadu membuat laporan mengenai kejadian pergaduhan antara tertuduh dan mangsa di hadapan bangunan KK yang mana salah seorang ditikam.

Sejurus sampai di tempat kejadian, polis mendapati tertuduh menikam mangsa menggunakan sebilah pisau di bahagian leher sebelah kanan sebelum pergaduhan itu dihentikan dan kedua-dua lelaki itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/05

No comments:

Post a Comment