Search This Blog

Thursday, August 7, 2014

Tengah mandi rumah terbakar


Kuantan: “Alangkah terkejut apabila melihat api sudah marak di ruang tamu dan saya bergegas membawa anak bongsu berusia enam tahun keluar melalui pintu dapur,” kata Salmah Osman, 52, yang terselamat daripada kebakaran memusnahkan rumahnya di Kampung Sungai Ular, di sini, petang kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 3 petang itu, wanita terbabit sedang mandi namun bernasib baik apabila anak perempuannya, Siti Zubaidah Ramli, 6, menyedari kebakaran berkenaan lalu menjerit memanggilnya berulang kali sebelum mereka berdua menyelamatkan diri.

Salmah berkata, dia pada mulanya tidak melayan panggilan anaknya itu kerana menyangka hanya perkara kecil berlaku, namun selepas Siti Zubaidah tidak berhenti memanggilnya selain mengetuk pintu bilik air beberapa kali menyebabkan dia bergegas keluar.

“Saya panik melihat api sudah marak dan terus berlari keluar bersama anak bongsu melalui pintu dapur dalam keadaan berkemban sebelum cuba mendapatkan bantuan jiran, namun api marak dengan cepat dan tiada apa sempat diselamatkan,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Katanya, ketika kejadian hanya mereka berdua berada di rumah manakala dua anaknya yang lain berusia tujuh dan lapan tahun masih berada di sekolah manakala suami, Ramli Noordin, 53, berada di tempat kerja di Gebeng, di sini.

“Suami bergegas pulang selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu dan sebaik melihat rumah terbakar dia terus pengsan sehingga kami memanggil ambulans kerana bimbang sesuatu buruk berlaku,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

No comments:

Post a Comment