Search This Blog

Monday, August 11, 2014

Tan Sri rugi RM150,000 rumah dirompak


KUALA LUMPUR 10 Ogos - Seorang bekas pengarah badan korporat berpangkat Tan Sri kerugian hampir RM150,000 selepas banglo miliknya dipecah masuk penyamun di Jalan Setiarasa, Bukit Damansara di sini, kelmarin.
Difahamkan, mangsa hanya menyedari kejadian itu kira-kira pukul 11.30 malam selepas beliau dan isterinya pulang daripada menghadiri satu majlis perkahwinan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, mangsa bersama keluarganya keluar daripada rumah dua tingkat tersebut pada pukul 8 malam dan sebaik sahaja pulang beberapa jam selepas itu terkejut mendapati beberapa bilik di bahagian atas rumah berselerak.
"Apabila diperiksa, beberapa barangan bernilai telah hilang termasuklah barangan kemas serta mata wang asing. Anggaran kerugian mereka adalah kira-kira RM150,000," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Azlee memberitahu, berdasarkan keterangan, mangsa mengesyaki penjenayah berkenaan memecah masuk rumah mereka melalui satu tingkap kecil di bilik air di bahagian atas banglo tersebut yang terbuka.
"Kita sedang menyiasat kes ini dan kemungkinan kejadian ini melibatkan lebih daripada seorang. Usaha sedang dilakukan untuk mengesan penjenayah ini," katanya yang menjelaskan, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140811/je_03/Tan-Sri-rugi-RM150000-rumah-dirompak#ixzz3A1uQRxTl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment