Search This Blog

Thursday, August 7, 2014

Tak sempat berjoli


MOHD FIRDAUS YON
7 Ogos 2014


JOHOR BAHRU - Dua penjenayah diberkas selepas sejam melakukan samun bersenjatakan parang ke atas sepasang suami isteri dan seorang pekerja binaan di kediaman mangsa di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kira-kira jam 3 petang, semasa pengadu bersama isteri dan pekerja kontrak itu berada di rumah, datang dua lelaki menaiki Proton Perdana warna hitam bersenjatakan sebilah parang.

Menurutnya, suspek kemudian masuk ke dalam rumah pengadu serta mengarahkan suami isteri dan pekerja kontrak itu menyerahkan semua barang berharga milik mereka dengan anggaran kerugian keseluruhan RM2,400.

“Pengadu merupakan ejen hartanah berusia 42 tahun mengalami kerugian berupa wang tunai RM400, telefon bimbit, kad pengenalan dan lesen memandu selain dua kad ATM. Manakala pekerja binaan kerugian kad pengenalan, lesen memandu dan kad ATM.

“Pada jam 4 petang, sepasukan anggota polis dikenali pasukan Ninja yang sedang membuat rondaan menahan kereta suspek di Jalan Songkit, di sini, berhampiran bangunan Wisma Daiman,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Sulaiman berkata, sejurus ditahan, suspek bertindak memecut laju ke arah Jalan Kebun Teh berdekatan perkuburan India sebelum hilang kawalan dan berhenti di jalan mati.

“Seterusnya anggota pasukan Ninja telah berjaya memberkas dan menangkap kedua-dua suspek. Siasatan mendapati pengadu bersama isteri serta pekerja kontrak tidak mengalami apa-apa kecederaan.

“Apabila suspek dibawa ke Balai Sentral, pengadu bersama pekerja telah mengecam kedua-dua suspek berkenaan yang telah menyamun mereka. Pengadu dan pekerja kontrak itu juga telah mengecam barang rampasan daripada suspek,” katanya.

Beliau berkata, suspek pertama berusia 36 tahun mempunyai rekod lampau (dikehendaki) bagi kes pecah rumah manakala suspek kedua berumur 37 tahun tidak memiliki rekod lampau.

“Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan ditahan untuk membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompak dengan bersenjata atau rompak serta cuba menyebabkan kematian.

“Polis merampas sebuah kereta milik suspek pertama, sebilah parang iaitu senjata digunakan untuk menyamun, sepasang sarung tangan, satu allen key, seutas beg silang dan dokumen milik mangsa

“Polis memohon kerjasama saksi yang nampak kejadian ini supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment