Search This Blog

Thursday, August 7, 2014

Syabu bekas kuih raya


Oleh Shahrul Nizam Mohamad
Temerloh: Cubaan dua sahabat menyembunyikan lima paket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dalam bekas kuih raya tidak menjadi apabila ditahan polis di sebuah rumah di Jalan Bahagia, kelmarin.

Dalam serbuan jam 8.10 malam, kedua-dua suspek berusia 20 dan 30 tahun gagal memboloskan diri sebelum terperangkap di ruang tamu apabila dikepung sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Serbuan yang diketuai Inspektor T S Naventheran dilakukan selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan pengedaran dadah di rumah berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Anuar Othman berkata, ketika serbuan, polis terpaksa memecahkan pintu belakang selepas suspek enggan membuka pintu termasuk tidak memberikan kerjasama.

Menurutnya, selepas berjaya memasuki rumah itu, polis menemui dua suspek di ruang tamu selepas gagal melarikan diri akibat dikepung sebelum polis menjalankan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan, polis menemui lima paket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 101.9 gram dianggarkan bernilai RM17,000 disembunyikan di bawah meja.

“Pada masa sama, polis turut merampas satu alat penimbang digital, satu botol kaca diubah suai untuk menghisap syabu, satu bungkus plastik berisi plastik kosong, tiga telefon bimbit jenama Samsung dan Nokia serta satu Galaxy Tab Samsung.

“Siasatan awal mendapati syabu itu dipercayai dibawa masuk dari negeri jiran dianggarkan bernilai RM25,000 jika dijual mengikut harga pasaran gelap,” katanya.

Kedua-dua suspek bersama barangan dirampas dibawa ke IPD Temerloh untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) akta sama kerana memasukkan dadah dalam badan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

No comments:

Post a Comment