Search This Blog

Thursday, August 7, 2014

Suspek pengganas, Marwan tidak terbunuh

Suspek pengganas, Marwan tidak terbunuh
polis mengiringi Khair Mundos pada 20 Jun lalu ketika dibawa ke mahkamah di Bandar Raya Taguig, selatan Filipina. - Foto AP
2014/08/07 - 07:50:21   MANILA: Komander kumpulan Abu Sayyaf yang ditangkap mendedahkan suspek pengganas utama Asia Tenggara, yang dilaporkan oleh tentera terbunuh dalam serangan udara dibantu Amerika Syarikat dua tahun lalu, sebenarnya masih hidup dan dilindungi kumpulan pemisah Islam di selatan Filipina, menurut laporan sulit rasmi.

Khair Mundos, yang ditahan polis berhampiran lapangan terbang antarabangsa Manila pada 11 Jun lalu, mengaku kumpulannya semakin kucar kacir, tanpa pemimpin pusat, semakin dibebani perbalahan dalaman dan bergantung kepada peras ugut dan penculikan, menurut siasatan polis ke atas Mundos.

Keterangan Mundos menyamai penilaian yang dibuat tentera dan polis mengenai Abu Sayyaf, yang dikatakan semakin lemah dan terpinggir dalam hutan terpencil di selatan berikutan selama lebih sedekad oleh tentera Filipina yang dibantu Amerika.

Jabatan Negara Amerika berkata Mundos ialah pemimpin utama Abu Sayyaf dan pembiaya kewangan yang ditangkap di selatan Filipina pada 2004 tetapi dapat melarikan diri dari penjara tiga tahun kemudian. Ketika dalam tahanan polis, beliau mengaku menguruskan perpindahan dana daripada al-Qaeda kepada Abu Sayyaf untuk membiayai kes pengeboman dan serangan pengganas lain di selatan.

Abu Sayyaf tidak mempunyai kepemimpinan pusat, Mundos dipetik dalam laporan sebagai berkata, menambah militan tidak mempunyai arah tujuan dan terbabit dalam peras ugut serta penculikan untuk mengekalkan keperluan harian mereka.

Mundos berkata, beliau mengunjungi wilayah penempatan Pergerakan Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFM) tahun lalu, di selatan Maguindanao dan bertemu Marwan, suspek dari Malaysia yang nama sebenarnya Zulkifli Hir. - AP

No comments:

Post a Comment