Search This Blog

Friday, August 15, 2014

Suspek kebas duit dikenal pasti


PUTRAJAYA 14 Ogos - Beberapa suspek utama yang menjadi dalang memindah dan mengeluarkan wang tunai lebih RM100,000 daripada akaun sebuah bank milik empat penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 telah berjaya dikenal pasti.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) berkata, polis percaya kegiatan itu membabitkan orang dalam bank berkenaan dan mereka kini diburu.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut berhubung jumlah suspek yang terlibat dalam kes tersebut sehingga tangkapan dibuat.
"Suspek yang terlibat telah dikenal pasti, jadi tunggu kita jalankan siasatan, kita percaya kes ini ada kerjasama dengan orang dalam di bank berkenaan dan polis sedang memburu mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kehilangan wang berjumlah lebih RM100,000 dalam akaun bank milik empat penumpang pesawat MH370 yang lesap dipercayai dikebas oleh kakitangan sebuah bank.
Empat akaun tersebut milik dua rakyat Malaysia iaitu Hue Pui Heng, 66 dan Tan Size Hiang, 46 serta dua rakyat China iaitu Tian Jun Wei, 29 dan Ju Kun, 32.
Kehilangan wang penumpang MH370 itu disedari oleh pengurus Ibu Pejabat Bank HSBC di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur pada 18 Julai lalu selepas mendapati berlaku transaksi pengeluaran dan pemindahan wang daripada empat akaun tersebut.
Pengurus bank tersebut juga mendapati sebanyak RM35,000 lagi wang daripada akaun Pui Heng turut dipindahkan ke dalam akaun seorang lagi lelaki lain pada 14 Julai lalu.
Pesawat MH370 yang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China pada 8 Mac lalu masih hilang sehingga hari ini manakala, nasib semua penumpangnya masih belum dapat dipastikan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140815/je_01/Suspek-kebas-duit-dikenal-pasti#ixzz3APT90tqG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment