Search This Blog

Friday, August 15, 2014

Suami orang belasah bekas teman wanita


Kuala Lumpur: Gila bayang. Itu perumpamaan kepada seorang lelaki apabila tergamak membelasah bekas teman wanitanya selain memaksa memulangkan semula wang RM1,000 yang pernah dipinjamkan kepada wanita itu.

Tidak cukup dengan itu, lelaki itu turut mengurung mangsa, 30 tahun, di dalam bilik tidur kediamannya di Wangsa Maju, di sini, dan memaksa dia menyerahkan wang diminta jika ingin dilepaskan.


Tindakan gila lelaki berusia 30-an itu disebabkan mangsa memutuskan hubungan dengannya apabila mengetahui statusnya yang masih suami orang sedangkan sebelum ini dia mendakwa masih bujang.



Akibatnya mangsa terpaksa menghubungi pihak polis yang datang tidak lama kemudian dan membebaskannya sementara suspek melarikan diri kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin.


Menurut sumber, sebelum itu mangsa yang ketika itu berada di dalam bilik tidur terkejut apabila bekas teman lelaki masuk ke dalam biliknya tanpa kebenaran.


“Mangsa pada mulanya menghalau lelaki itu beredar, namun gagal sebaliknya suspek merayu supaya menerimanya semula dan meneruskan hubungan mereka seperti biasa.

“Bagaimanapun dia enggan kerana tidak sanggup meneruskan hubungan itu kerana suspek sudah berkahwin,” katanya.


Sumber berkata, suspek tetap berusaha memujuk bekas kekasihnya, namun gagal menyebabkan dia terus memeluk mangsa menyebabkan mangsa menjerit meminta tolong.

“Berang dengan tindakan mangsa suspek kemudian terus menampar muka wanita terbabit beberapa kali selain memulaskan tangan ke belakang.


Selepas gagal memujuk mangsa, suspek akhirnya mendesak dia membayar semula wang kononnya digunakan untuk menjelaskan sewa rumah sebanyak RM1,000.


“Mangsa kemudian menghubungi polis sebelum dibebaskan dan membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju,” katanya.


Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

No comments:

Post a Comment