• Keadaan rumah mangsa selepas kebakaran tersebut.Keadaan rumah mangsa selepas kebakaran tersebut.

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri nyaris maut dalam satu kebakaran di kediaman mereka Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh, di sini, awal pagi, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3.53 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Emran Othman, 67, manakala isterinya, Julia Badri, 66, parah akibat melecur di badan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Anak keempat mangsa, Edy Junaidy, 31, berkata, dia mendapat tahu tentang kejadian selepas dimaklumkan oleh kakaknya.

Menurutnya, dia terkejut mendapat tahu insiden berkenaan sebelum bergegas ke HKL dari Kuala Pilah untuk melihat keadaan ibu bapa mereka.

“Kakak saya telefon kira-kira jam 5.10 pagi beritahu emak dan ayah akan dimasukkan ke wad kecemasan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan, Che Ku Mohd Azlizam Che Ku Daud berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan kira-kira jam 3.53 pagi.

Beliau berkata,  api dipercayai bermula dari bilik stor. Kejadian disedari oleh jiran sebelah rumah mangsa.

“Namun, jiran hanya sempat  menyelamatkan seorang mangsa (isteri). Bagaimanapun, dengan tindakan pantas anggota, kita turut berjaya menyelamatkan suaminya.

“Dipercayai ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang tidur. Akibat kejadian itu, mangsa (suami) mengalami kecederaan lebih 90 peratus di badan,  isterinya 23 peratus,” katanya.

Katanya lagi, punca dan kerugian masih dalam siasatan.