Search This Blog

Friday, August 15, 2014

SPAD kesan lebih 17,300 kes kesalahan


SEORANG penguatkuasa SPAD memeriksa dokumen pemandu warga asing yang didapati memalsukan dokumen diri dan beberapa kesalahan Akta Imigresen dalam Operasi Bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasa di kawasan Rehat dan Rawat Ayer Keroh, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Ayer Keroh, Melaka, semalam.
MELAKA 14 Ogos - Sejumlah 17,348 kes melibatkan kesalahan kenderaan awam darat dikesan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak Jun 2011 sehingga Julai lalu.
Ketua Bahagian Penguatkuasaannya, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, jumlah tersebut meliputi sebanyak 2,004 kes sejak Jun 2011, 3,907 kes (2012) dan 6,769 kes (2013).
"Pada tahun ini antara Januari hingga Julai lalu, sebanyak 4,668 kes telah direkodkan atas pelbagai kesalahan.
"Ini termasuk 1,413 kes melibatkan teksi, lori dan trak yang melakukan kesalahan melebihi muatan (1,131 kes), ulat tiket (44 kes) dan teksi sapu (36 kes).
"Kesemua kesalahan itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dikenakan tindakan sama ada didakwa di mahkamah atau dikompaun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai operasi bersepadu yang disertai sebanyak 86 anggota daripada pelbagai agensi di Restoran Jejantas Ayer Keroh di sini hari ini.
Agensi yang terlibat termasuk SPAD, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar.
Dalam operasi bermula pukul 9 pagi itu sebanyak 124 kenderaan termasuk 54 bas dan 70 lori telah diperiksa manakala 17 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk salah guna dadah serta tiada permit perjalanan yang sah.
Antara yang ditahan ialah seorang pemandu lori warga Indonesia berusia 27 tahun kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Menurut Che Hasni, operasi tersebut dilakukan bagi mengesan pemandu kenderaan pengangkutan awam terutamanya bas dan lori yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Dalam pada itu, golongan pengusaha kenderaan awam darat diingatkan agar bersikap lebih bertanggungjawab dalam memastikan pemandu kenderaan mereka mematuhi pelbagai arahan dan syarat yang telah ditetapkan oleh SPAD.
Kata Che Hasni, operasi bersepadu itu akan dilakukan secara kerap dan berkala dengan kerjasama pelbagai agensi bagi mengesan salah laku melibatkan pemandu, kelindan dan penumpang kenderaan awam darat sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140815/je_06/SPAD-kesan-lebih-17300-kes-kesalahan#ixzz3APVRyumd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment