BERA - Taktik seorang pengedar menyorokkan dadah di dalam seluar dalam yang dipakainya berjaya dikesan polis semasa melakukan serbuan di sebuah rumah dekat Felda Sebertak, dekat sini.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Zul Haizal Zainal Abidin berkata, rakan suspek yang berada dalam bilik rumah itu turut ditahan dalam serbuan pada jam 12.50 tengah hari hasil maklumat orang awam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan fizikal ke atas suspek menemui dadah jenis heroin dan syabu disorokkan dalam lubang khas yang direka pada seluar dalam terbabit.

“Kedua-dua jenis dadah itu turut dijumpai di dalam tiang kaki katil seberat 218.9 gram yang dianggarkan bernilai RM25,686 serta wang tunai RM3,500, penimbang digital dan plastik pembungkusan dadah turut dirampas.

“Ujian saringan awal ke atas kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 30 an itu didapati positif dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), dekat sini.

Serbuan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Inspektor Mohd Syahrul Nizam Jamil bersama tujuh anggota semasa melaksanakan tugas Ops Tapis Bersepadu.

Suspek dipercayai baharu menerima stok bekalan dadah untuk diedarkan di sekitar tanah rancangan berdekatan berikutan penemuan penimbang digital dan dadah yang siap dibungkus dalam peket kecil.

Zul Haizal berkata, ibu bapa kepada seorang suspek turut ditahan kerana berada dalam rumah itu ketika serbuan untuk membantu siasatan.

“Seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau malah baharu sahaja dibebaskan dari Pusat Pemulihan Akhlak di Batu Gajah Mei lalu.

“Semua yang ditangkap ditahan reman sehingga 2 September ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A (2), Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, seorang ibu tunggal anak satu berbangsa Melayu turut ditahan di rumah keluarganya dekat Felda Mayam, di sini kerana dipercayai bergerak aktif dalam aktiviti pengedaran dadah.

Suspek yang juga anak peneroka di sini ditahan pada 24 Ogos lalu pada jam 9 pagi itu mempunyai rekod lampau pada tahun 2010 dan 2011.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah Pencegahan Khas 1985.