• Alijah sembilan beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dijilat api dalam kejadian di Seri Bandi, pagi semalam.Alijah sembilan beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dijilat api dalam kejadian di Seri Bandi, pagi semalam.

KEMAMAN - “Mujurlah salah seorang anak saya terjaga dari tidur lepas rasa panas, kalau tak mungkin kami terperangkap,” kata seorang nenek, Alijah Ariffin, 65, yang nyaris rentung bersama dua anak dan enam cucu apabila rumah mereka di sini terbakar ketika mereka sedang nyenyak tidur, awal pagi semalam.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3 pagi itu mengakibatkan mereka tinggal sehelai sepinggang dan menanggung kerugian lebih RM50,000.

Alijah yang juga ibu tunggal berkata, biarpun hilang tempat berteduh namun dia bersyukur kerana mereka semua terselamat.

Katanya, anaknya, Mariam Hashim, 35, yang terlebih dahulu tersedar dari tidur sebelum mengejutkannya dan ahli keluarga lain.

“Lepas dikejutkan, kami bertempiaran keluar rumah tanpa sempat ambil barang berharga.

“Api marak terlalu cepat jadi kami tak dapat berbuat apa-apa melainkan hanya mampu menyelamatkan nyawa sendiri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Terkejut bilik penuh asap

Mariam pula berkata, sejurus merasa bahang dan membuka mata dia hanya mampu mengucap panjang apabila bilik tidurnya juga dipenuhi asap.

“Berikutan itu saya segera bangkit dan kejutkan tiga anak saya yang tidur bersama dan kemudian saya kejutkan pula mak dan adik saya, Zainon Ahmad, 27, yang tidur bersama tiga anaknya di bilik berlainan.

“Alhamdulillah kami semua dapat keluar dengan selamat walaupun api merebak sangat cepat,” katanya.

Mariam bersama tiga anaknya itu tidur bilik bersebelahan dapur rumah yang dibina dari struktur konkrit manakala material binaan rumah ibunya adalah dari kayu dan papan menyebabkan api cepat merebak.

Dua anak perempuan Alijah itu berlainan bapa dan tinggal bersamanya sejak kedua-duanya bercerai serta bekerja di sebuah ladang kelapa sawit untuk menyara keluarga.

Gara-gara kebakaran itu, 100 peratus rumah mangsa musnah termasuk kesemua barang berharga dalam rumah iaitu televisyen, peti sejuk dan almari pakaian.

Api berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit selepas ketibaan tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh dibantu BBP Chukai dengan kekuatan anggota seramai 17 orang.

Tindakan pantas itu mengelakkan api merebak ke rumah bersebelahan.

Sebelum ketibaan anggota BBP itu, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seri Bandi memberi respons awal dengan berusaha mengawal api yang marak.

Bagaimanapun, punca sebenar kebakaran dan jumlah sebenar kerugian yang ditanggung mangsa masih dalam siasatan pihak bomba.

Ahmad Shabery sumbang bantuan segera RM500

Dalam pada itu, bagi meringankan beban mangsa, sumbangan segera sebanyak RM500 daripada Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek disampaikan oleh rombongan Wanita Umno Bahagian Kemaman yang menziarahi mangsa sekeluarga.
Rombongan itu turut memberi kata-kata semangat kepada seluruh keluarga itu agar kuat semangat menempuh ujian berat apatah lagi dalam suasana Syawal yang masih belum berakhir.