Search This Blog

Wednesday, August 27, 2014

Semak punca rumah dipecah masuk


WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Ogos 2014


JASIN - Akibat semak, penduduk di Taman Suria, Kemendor bukan sahaja diancam binatang berbisa, malah rumah mereka juga menjadi tumpuan penjenayah.

Penduduk, Haspiah Ibrahim, 64, berkata, sebelum ini, dari kawasan rumahnya boleh nampak laluan jalan raya dan bangunan Sekolah Menengah Teknik Jasin, namun sejak tahun lalu keadaan berubah disebabkan terlindung dengan pokok serta semak samun yang semakin meninggi.

“Keadaan semak samun yang meninggi itu menyebabkan kawasan rumah kami terlindung dari pandangan hingga menjadi tumpuan pencuri,”  katanya.

Haspiah berkata, kira-kira tiga bulan lalu, dua lelaki yang menaiki motosikal mengambil beg tangan milik anaknya yang diletakkan di atas meja di hadapan rumah.

Rohani Baba, 65, pula berkata, mereka pernah mengadukan perkara ini kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan itu, namun ianya masih belum diselesaikan.

Menurutnya, rumahnya juga pernah dimasuki pencuri beberapa bulan lalu, namun bernasib baik kerana ketika kejadian, mereka sekeluarga tiada di rumah.

"Saya masih berasa amat bimbang memikirkan keselamatan ahli keluarga kami dan berharap pihak berkaitan membantu kami menangani masalah ini.

“Kami percaya mereka menggunakan laluan belakang yang dilitupi semak untuk masuk ke dalam rumah dan tidak mustahil kejadian ini berulang lagi sekiranya tiada tindakan diambil,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Dun Rim, Jazlee Pit berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima aduan berhubung masalah berkenaan dan akan menyiasat masalah berkenaan.

No comments:

Post a Comment