Search This Blog

Friday, August 15, 2014

Sayu buka plastik tutup jenazah


Alor Setar: “Seluruh tubuh saya menggigil sewaktu membuka plastik hitam menutupi mayat isteri yang ketika itu kaku di tepi jalan. Walaupun sedih dengan pemergiannya, saya reda dan akan membesarkan tiga anak yang masih kecil,” kata Hanizam Hassan.
Dalam kejadian jam 6.45 pagi semalam, isteri Hanizam iaitu Rosnah Hamid, 40, yang ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, maut apabila motosikalnya dipercayai dirempuh sebuah lagi motosikal di simpang tiga berhampiran Pokok Asam, Langgar, dekat sini.

Mangsa yang bekerja dengan syarikat pembersihan parah di kepala dan badan dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa parah dihantar ke HSB untuk rawatan lanjut.
Hanizam, 41, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah di Taman Angsana, Pokok Sena dan sedang bersiap untuk keluar bekerja sebagai pemandu lori manakala anak perempuan bongsunya berusia tiga tahun sudah dihantar ke rumah pengasuh.

Katanya, dua lagi anak mereka masing-masing berusia 15 dan 18 tahun ke sekolah berhampiran kawasan rumah.

“Saya terkejut sebaik menerima panggilan orang awam sekitar jam 7.30 pagi memaklumkan isteri saya terbabit dalam kemalangan dan mayatnya masih berada di tempat kejadian.
Foto
HANIZAM ditenangkan rakannya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, semalam.
“Dia keluar rumah jam 6.30 pagi dan sempat memberitahu dia hendak ‘pergi dulu’ ke tempat kerja. Kebiasaannya dia lebih suka memandu kereta, tetapi pagi tadi (semalam) dia menunggang motosikal sendirian ke HSB sebelum terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik HSB, di sini.

Turut menziarahi jenazah mangsa ialah Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazalie dan kakitangannya.
Hanizam berkata, isterinya tidak menunjukkan perubahan sikap sebelum ini cuma arwah rajin mengemas rumah dan ruang dapur sehingga bersih kelmarin seolah-olah mengetahui ajalnya sudah tiba.

Katanya, arwah seorang yang rajin bekerja untuk membantunya menyara keluarga, namun tidak menyangka isterinya akan pergi dulu meninggalkan mereka sekeluarga.

Rakan sekerja mangsa, Najib Shaari, 58, berkata, dia bertemu arwah kali terakhir jam 10 pagi kelmarin dan sempat makan bersamanya sambil berbual kosong sebelum meneruskan kerja masing-masing.

Katanya, arwah bekerja mencuci di bahagian farmasi adalah seorang yang rajin dan disegani rakan-rakan lain kerana ramah dan tidak pernah merungut jika ada masalah.

“Sebaik menerima berita nahas itu, saya bagaikan tidak percaya dan mahu sendiri melihat keadaannya di lokasi kejadian.

“Namun, sebaik tiba, saya cam itu memang jasad Rosnah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan menerima laporan kemalangan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk akan mengambil keterangan daripada seorang lagi mangsa masih dirawat di wad kecemasan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggangi lelaki berusia 22 tahun terbabit dipercayai bertembung dengan motosikal mangsa menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

No comments:

Post a Comment