• Rumah didiami Siti Aminah sekeluarga kini dicat putih bagi menghilangkan ingatan terhadap tragedi buruk yang pernah berlaku.Rumah didiami Siti Aminah sekeluarga kini dicat putih bagi menghilangkan ingatan terhadap tragedi buruk yang pernah berlaku.

ALOR SETAR - ”Walaupun sudah tiga tahun berlalu, susah saya nak maafkan. Parut di muka jelas kelihatan kesan kena tetak,” luah Siti Aminah Hanapi, 53, yang sebelum ini parah ditetak madunya dalam kejadian di Kampung Baru Alor Biak, Sungai Korok, di sini, awal Januari 2011.

Disebabkan itu, Siti Aminah yang juga isteri pertama menerima 44 jahitan di dahi dan pipi kiri selain retak pada tengkorak kepala.

Mengimbas kembali kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, seorang isteri muda yang masih dalam pantang bertindak di luar batasan dengan menetak madu dan anak tirinya berusia 16 tahun menggunakan parang dipercayai akibat perselisihan faham.

Siti Aminah berkata, dia tidak menyangka layanan baik terhadap madunya termasuk membenarkan mereka dua beranak tinggal bersama akhirnya mengundang padah.

“Disebabkan kejadian itu, saya masih trauma kerana sering terbayang-bayang diserang secara tiba-tiba dan sukar untuk tidur. Hanya ALLAH yang tahu bagaimana kami melalui detik cemas hampir meragut nyawa.

“Biarpun dia sudah dibebaskan dari penjara namun saya tidak akan membenarkannya menjejakkan kaki ke rumah ini kerana bimbang kejadian sama boleh berulang kembali,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sepanjang tempoh wanita itu menjalani hukuman penjara, mereka sekeluarga kembali hidup tenang dan cuba untuk melupakan semua kisah pahit yang pernah berlaku termasuk menukar cat rumah lokasi kejadian dari hijau kepada putih.

“Namun sejak wanita itu menamatkan hukuman, suami kembali ke pangkuannya. Saya terpaksa mengambil alih tugas untuk menanggung keluarga dengan mengambil upah mengopek ikan bilis sekitar RM10 seminggu.

“Bagaimanapun sejak kebelakangan ini keadaan kewangan semakin terbeban apabila keadaan kesihatan makin merosot kerana sakit kencing manis. Saya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan am RM200 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tanggung keluarga,” katanya.

Siti Aminah berkata, dua daripada lima anaknya masih bersekolah namun anak keempat yang sepatutnya melanjutkan pelajaran di tingkatan empat mengambil keputusan untuk berhenti kerana kesempitan hidup.

“Hanya anak bongsu sahaja sekarang di tahun lima yang masih bersekolah namun mengalami masalah pembelajaran. Sementara anak sulung dan kedua sudah berkahwin mengikut suami, anak ketiga hanya mengambil upah kerja kampung.

“Beban makin terasa apabila bekalan elektrik dan air hampir dipotong kerana bil tertunggak tidak mampu bayar. Saya juga tidak dapat menyediakan kelengkapan raya untuk anak-anak sewaktu Aidilfitri lalu. Motosikal yang menjadi pengangkutan utama juga sudah kena tarik sebab tiada duit mahu bayar ansuran bulanan,” katanya.

Katanya, dia amat mengharapkan ada pihak yang sudi membantu mereka untuk membina hidup baru.

“Saya minat berniaga secara kecil-kecilan seperti makanan dan minuman tetapi tidak ada modal untuk membeli peralatan perniagaan. Sekurang-kurangnya jika ada yang sudi membantu sedikit sebanyak boleh meringankan beban untuk mencari sumber pendapatan menampung keluarga,” katanya.