MARAN - Seorang Ketua Pemuda Umno cawangan ditumbuk di muka dan dada oleh seorang pemimpin kanan Pemuda Umno Bahagian Maran pada satu majlis jamuan Aidilfitri, dekat sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu, mangsa berusia 32 tahun dikatakan ditumbuk secara tiba-tiba oleh lelaki berkenaan ketika menghulurkan tangan untuk bersalam.
Insiden dipercayai berpunca daripada masalah dalaman Pemuda susulan daripada penggantungan keahlian Ketua Pemuda Umno Bahagian Maran oleh Mesyuarat Tertinggi Umno yang berkuat kuasa serta-merta pada 11 Julai lalu.

Menurut saksi, kejadian berlaku ketika mangsa sedang bersalaman dengan beberapa rakan sebaik tiba di majlis jamuan itu.
Mangsa kemudian menghulurkan tangan untuk bersalam dengan lelaki itu yang turut berada berdekatan namun tidak diendahkan.
Sebaliknya, lelaki itu meluru secara tiba-tiba dari arah hadapan lalu menumbuk muka dan dadanya sebelum menolak mangsa sehingga terjatuh di khalayak ramai.
Situasi demikian menyebabkan beberapa rakan yang berada berdekatan bertindak menghalang insiden berlarutan daripada sebarang tindak balas.
Sebelum beredar dari tempat kejadian, ahli jawatankuasa Pemuda Umno bahagian yang baharu itu mengeluarkan kata-kata ugutan untuk mencederakan mangsa pada masa akan datang.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat mangsa di Balai Polis Bandar Jengka.
Mangsa, yang ditemui mengesahkan kejadian itu dan mendakwa tidak mengetahui punca sebenar yang membawa kepada insiden itu.
“Ia secara tiba-tiba tanpa sebarang pertelingkahan mulut dan berlaku di hadapan orang ramai.

“Tapi saya tidak menolak kemungkinan kerana kami tidak ‘sekapal’ dan lebih-lebih lagi isu penggantungan keahlian Ketua Pemuda kini menjadi bualan utama dalam kalangan ahli Pemuda,” katanya.
Ekoran kejadian itu, mangsa akan pertimbangkan untuk mengambil tindakan mahkamah kerana mengalami trauma dan diaibkan di khalayak ramai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintenden Sulaiman A Hamid mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan.