Search This Blog

Friday, August 15, 2014

Rumah pusaka lesap sekelip mata


Sik: Kehidupan seorang tukang rumah bagai jatuh ditimpa tangga apabila rumah pusaka peninggalan bapanya yang meninggal dunia sehari sebelum Ramadan lalu musnah akibat dijilat api dalam kebakaran di Kampung Kemulung, dekat sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa, Sahidan Baharom, 40, bekerja di Kampung Chepir yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari rumahnya sekali gus mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM80,000.


Difahamkan, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas bermula di bahagian dapur sebelum merebak, sekali gus memusnahkan rumah berkenaan.



Sahidan berkata, dia menerima panggilan daripada kakaknya yang tinggal berhampiran memaklumkan rumah pusaka bapanya sedang terbakar dan menyangka mungkin hanya mengalami kerosakan kecil.


Bagaimanapun, katanya, dia berasa terkejut apabila mendapati api sedang marak dan anggota bomba memadam kebakaran sebaik tiba di rumah.


“Kebiasaannya, saya keluar bekerja kira-kira jam 10 pagi, tetapi hari ini (semalam) tergerak hati ingin keluar awal pada jam 7.30 pagi dan tidak menyangka perkara yang tidak diingini seperti ini berlaku.

“Saya tinggal seorang diri saja di rumah pusaka berusia 50 tahun ini kerana isteri dan anak-anak tinggal di Sungai PetaniSaya berasa sedih kerana begitu menyayangi rumah ini dan kini tiada lagi tempat untuk berteduh,” katanya ketika ditemui, di sini.


Kakak mangsa, Zabidah, 59, yang menyaksikan kejadian berkata, dia terdengar bunyi letupan beberapa kali dari arah rumah pusaka yang didiami adiknya ketika sedang mencuci pinggan di dapur rumahnya.

Katanya, selepas terdengar bunyi letupan itu, dia bersama anaknya yang juga orang kelainan upaya (OKU) terus keluar dari rumah untuk memeriksa apa yang berlaku.


“Saya terdengar bunyi letupan kuat dari arah rumah pusaka ayah ketika mencuci pinggan di dapur. Kemudian, saya cepat-cepat keluar untuk melihat apa yang berlaku.


“Apabila keluar, saya melihat asap tebal dari rumah itu lalu berlari untuk meminta pertolongan penduduk kampung bagi menghubungi pihak bombaa.


“Mujurlah ada penduduk berhampiran menolong mengubah kedudukan dua buah kereta yang berada di tepi rumah berkenaan. Kalau tidak dialihkan, kemungkinan kereta itu turut musnah. Apapun, Alhamdulillah tiada kecederaan yang berlaku dalam kebakaran ini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sik Hanapi Azizan ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.16 pagi sebelum lapan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.


Menurutnya, pihaknya berdepan dengan kesukaran kerana jentera bomba tidak boleh memasuki jalan mini tar untuk ke kawasan rumah itu kerana terdapat banyak pokok.


“Kami terpaksa meletakkan jentera kira-kira 90 meter dari jalan raya untuk ke lokasi kebakaran selain menggunakan pam untuk mengambil sumber air di parit yang terletak di sebelah rumah mangsa untuk memadam api,” katanya memaklumkan punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

No comments:

Post a Comment