IPOH - Sebuah rumah kedai dipercayai dibina sebelum perang dunia kedua musnah 70 peratus dalam kebakaran yang berlaku di Jalan Raja Musa Aziz di sini, awal pagi semalam.

Dua lagi rumah kedai yang terletak bersebelahan turut mengalami kerosakan di tingkat atas namun kejadian itu  tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kematian kerana ketiga-tiga premis berkenaan sudah lama dibiarkan kosong.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada jam 2.37 pagi dan tiba ke lokasi lapan minit kemudian.

Menurutnya, seramai 25 anggota dari BBP Ipoh dan Simpang Pulai bergegas menggunakan empat jentera untuk menjalankan operasi pemadaman.

“Ketika tiba di tempat kejadian, sebuah rumah kedai sudah 70 peratus terbakar dan api mula merebak ke dua premis bersebelahannya.
“Kami juga turut memasuki pintu belakang bangunan untuk memeriksa sama ada terdapat mangsa di dalam memandangkan ketiga-tiga kedai mempunyai papan tanda.

“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dijalankan tiada mangsa ditemui kecuali longgokan sampah yang sudah terbakar,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, rumah kedai lama yang dibuat daripada batu dan papan itu, dipercayai sudah lama ditinggalkan kosong tanpa sebarang perabot atau barangan lain dan hanya dipenuhi sampah termasuk kertas serta kotak.

“Kebakaran dapat dikawal pada kira-kira jam 3 pagi dan padam sepenuhnya kira-kira dua jam kemudian,” katanya.