Search This Blog

Friday, August 15, 2014

Rumah ‘bergerak’


Oleh Nur Saliawati Salberi

Klang: “Tiada lagi istilah tidur lena bagi saya dan suami kerana rumah yang didiami ini mungkin akan meragut nyawa,” kata seorang suri rumah Najihah Abd Manaf, 47, yang juga penduduk Flat Suria Pendamar, Persiaran Selat Selatan, di sini.

Difahamkan pangsapuri lima tingkat berusia 12 tahun itu dibuat atas kawasan paya bakau dan kini dibina 400 unit kediaman yang dihuni 1,000 orang.


Menurutnya, setahun selepas tinggal di pangsapuri berkenaan dia mula menyedari ada kesan retak di beberapa bahagian rumah yang semakin hari semakin membesar.



Katanya, dia yang tinggal di situ sejak 2006, kini hidup ketakutan.


“Macam mana tak takut, kadang-kadang ketika saya berbaring di ruang tamu sambil menonton televisyen, saya dapat rasakan pergerakan rumah yang mendap.


“Jika jiran atas membasuh rumahnya air basuhan itu akan masuk ke dalam rumah saya melalui celahan kesan retak,” katanya.

Seorang lagi penduduk Lim Joo Lee, 64, berkata, selain masalah keretakan dan mendapan, masalah takungan air yang berpunca daripada paip yang tidak diselenggara juga masalah utama penduduk.


“Apabila paip yang bocor tidak dibaiki ia menyebabkan air bertakung, sekali gus menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Penduduk juga terpaksa menanggung bil air berlebihan kerana paip di dalam simen turut mengalami kebocoran sejak dua tahun lepas, namun sehingga kini tiada pihak yang tampil menyelesaikan masalah ini,” katanya.


Prihatin dengan nasib yang menimpa penghuni pangsapuri berkenaan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya akan meminta Unit Penyelarasan dan Perlaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Shah Alam Selangor untuk membuat kajian dan siasatan untuk membantu mereka.


“Selepas melihat sendiri masalah yang dihadapi penghuni di sini (Pangsapuri Suria Pendamar), saya dapat rasakan penderitaan yang mereka hadapi,” katanya.


Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor berkata, pihaknya akan cuba usaha untuk membantu menyelesaikan masalah mereka penghuni di situ.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

No comments:

Post a Comment