Search This Blog

Monday, August 18, 2014

Remaja langgar polis gagal lolos


Oleh Nur Saliawati Salberi

Shah Alam: Dua remaja lelaki nekad melarikan diri daripada sekatan jalan selepas melanggar seorang anggota polis bertugas dalam ‘Ops Rempit’ di Persiaran Perbandaran Seksyen 14 di sini, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, remaja berusia 19 tahun itu bersama rakannya yang juga pelajar tingkatan tiga berusia 15 tahun berjaya diberkas selepas motosikal yang mereka naiki gagal dikawal lalu terbabas di bahu jalan.

Remaja berusia 15 tahun dikenali sebagai Irfan dari Teluk Gong dekat Klang berkata, mereka berdua tidak nampak ada anggota polis bertugas kerana ketika kejadian, dia dan rakannya yang menunggang motosikal itu terlalu takut.

“Saya tahu salah melarikan diri daripada poli,s tetapi kami terlalu takut kerana tiada lesen memandu dan bimbang disaman menyebabkan nekad berpatah balik.

“Ibu dan bapa tidak tahu saya datang ke sini (Shah Alam) kerana sebelum keluar rumah, saya hanya cakap mahu keluar berjumpa rakan di kawasan berhampiran rumah,” katanya.

Sepanjang operasi, kebanyakan penunggang motosikal bagaikan mempunyai ‘nyawa simpanan’ kerana kebanyakan daripada mereka cukup berani mengambil risiko mempertaruhkan nyawa dengan menunggang secara melawan arus selain nekad merempuh sekatan jalan diadakan.

Selain itu, mereka juga nekad memecut laju motosikal masing-masing tanpa memikirkan keselamatan diri dan anggota polis bertugas walaupun sudah diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

Tindakan itu hanya sebenarnya mengundang padah apabila ada antara mereka berlanggar sesama sendiri selain terbabas dalam longkang dalam usaha melarikan diri.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam Deputi Superintendan Goh Lee Shen berkata, operasi yang bermula jam 12 tengah malam dan berakhir lima jam kemudian itu dijalankan serentak di dua kawasan tumpuan mat rempit iaitu di Persiaran Perbandaran dan Persiaran Masjid.

“Hasil pemeriksaan terhadap 635 kenderaan, sebanyak 109 motosikal disita kerana tidak mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala 260 saman dikeluarkan,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

No comments:

Post a Comment