Search This Blog

Thursday, August 7, 2014

Rambo Bentong dihukum gantung



RABIDIN dibawa keluar daripada Mahkamah Tinggi Temerloh selepas dia dihukum gantung sampai mati di Temerloh semalam.


TEMERLOH – Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap penjenayah kejam, Rambo Bentong atau nama sebenarnya Rabidin Satir selepas dia didapati bersalah membunuh seorang remaja berusia 17 tahun di Kampung Ketari, Bentong lima tahun lalu.
Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap kes pendakwaan yang dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Annie Kok Yin Cheng.
Dalam penghakimannya, Ab. Karim berkata, keterangan secara bersumpah yang dibuat tertuduh mengenai tidak mengenali mangsa dan ke lokasi kejadian dalam prosiding sebelum ini hanya berbentuk penafian serta gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap kes yang dibawa oleh pihak pendakwa raya.
Beliau juga memutuskan bahawa hasil analisis kimia yang dijalankan oleh ahli kimia terhadap bukti asid deoksiribonukleik (DNA) yang dikemukakan pihak pendakwa raya yang ditemui di lokasi kejadian dan seluar pendek milik mangsa adalah sepadan dengan sampel yang diambil daripada DNA tertuduh.
“Berdasarkan bukti juga, mahkamah mendapati tertuduh adalah orang terakhir yang berada bersama mangsa.
“Rabidin, hanya satu hukuman yang boleh mahkamah jatuhkan kepada kamu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu hukuman mati,” katanya.
Ab. Karim berkata, pelaksanaan hukuman akan ditentukan selepas rayuan dibuat oleh tertuduh di Mahkamah Rayuan.
Rabidin, 43, yang berasal dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah didakwa membunuh Annie antara pukul 11.30 malam pada 7 Mac 2009 dan 1.50 petang, keesokan harinya di Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, Bentong dekat sini.
Bagaimanapun Ab. Karim melepaskan tertuduh daripada pertuduhan kedua yang dibuat di bawah Seksyen 376 (4) kanun yang sama kerana merogol mangsa sehingga menyebabkan kematiannya di tempat dan masa yang sama.
Rabidin yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda dalam keadaan yang tidak berupaya hanya tunduk selepas mendengar keputusan mahkamah yang kemudian diterjemah kepada dialek Dusun oleh jurubahasa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mustaffa manakala peguam-peguam, Richard Bong Chong Fook dan Rafika Shariah Mohd. Hassan mewakili tertuduh.
Rabidin sebelum ini dihukum penjara 133 tahun untuk beberapa kesalahan membabitkan pertuduhan cubaan bunuh, liwat dan rogol.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz39f28UBPi 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment