Search This Blog

Wednesday, August 27, 2014

Polis tumpaskan raja dadah



MAZLAN Lazim (tengah) menunjukkan antara barangan yang dirampas pada sidang akhbar di IPK negeri, di Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI
KOTA BHARU 26 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 'raja dadah' Kelantan bersama empat 'anak buahnya' serta merampas 39,817 biji pil kuda yang bernilai RM1 juta dan wang tunai sebanyak RM509,623 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar ini, kelmarin.
Pihak polis percaya serbuan tersebut juga telah melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini dengan tertangkapnya ketua dan anggota 'Geng Kuning' termasuk sepasang suami isteri.
Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama dan tindakan pantas antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan serta Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman.
"Serbuan pertama itu dilakukan di kawasan tempat letak kereta bawah tanah sebuah pusat beli belah di bandar ini. Di situ, kami menahan dua lelaki berumur 24 dan 27 tahun bersama seorang wanita berumur 27 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.
"Lelaki berumur 27 tahun itu merupakan ketua sindiket bertaraf 'King Pin' (raja dadah) dan wanita tersebut merupakan isteri kepada suspek manakala kanak-kanak berkenaan adalah anak mereka.
"Setelah menjalani ujian saringan air kencing, didapati pasangan itu negatif dadah tetapi rakan mereka positif dadah," katanya dalam sidang akhbar di IPK Kelantan, di sini hari ini.
Mazlan berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya menemukan sebuah beg berwarna coklat di tempat letak kaki penumpang hadapan yang mengandungi empat bungkusan dibalut pita pelekat manakala di dalamnya mengandungi 39,817 biji pil kuda bernilai RM1 juta.
Beliau memberitahu, susulan itu, pihaknya menahan seorang lelaki berumur 24 tahun di Kampung Buloh Poh, Ketereh di sini, pukul 3.15 petang pada hari sama.
"Kita telah merampas wang tunai sebanyak RM100,746 dan beberapa alat komunikasi serta satu set kamera daripada lelaki yang juga anggota sindiket tersebut," katanya.
Kata beliau, kira-kira 15 minit kemudian, pihaknya melakukan serbuan ketiga di sebuah rumah kedai di Kampung Gelung Gajah, Bunut Susu.
"Di situ, kami menahan seorang lelaki berumur 34 tahun yang mempunyai jenayah rekod lampau di bawah Seksyen 39A Akta Dadah 1952.
"Hasil serbuan, kami merampas wang tunai sebanyak RM246,067, wang tunai dalam mata wang Thailand sebanyak 200,000 baht (RM19,800), sebuah trak pikap Toyota hilux dan kereta Toyota Vios.
"Kesemua suspek berusia antara 24 tahun hingga 34 tahun yang ditahan kini direman selama seminggu dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya.
Tambah Mazlan, pihak polis akan meneruskan operasi untuk mengesan saki-baki kumpulan tersebut supaya kegiatan mereka dapat dilumpuhkan sepenuhnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140827/je_01/Polis-tumpaskan-raja-dadah#ixzz3BaCnLRvY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment