Search This Blog

Friday, August 22, 2014

Polis kenal pasti suspek tumbuk pengadil


Oleh Isma Ismail dan Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Lelaki yang disyaki menumbuk hingga mencederakan pengadil bola sepak di pekarangan sebuah hotel di Jalan Langkasuka, Larkin, di sini, Selasa lalu, sudah dikenal pasti polis.

Gambar suspek diperoleh polis dan usaha mengesan sedang dijalankan untuk tindakan selanjutnya.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Hasnan Hassan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti lelaki yang dipercayai berusia antara 35 dan 45 tahun.

“Kami sedang berusaha mengesannya dan siasatan dijalankan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya di sini, semalam.


Dalam kejadian itu, Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim, 41, bengkak mata kanan dan patah gigi akibat ditumbuk suspek.


Ketika kejadian jam 11.50 malam itu, mangsa dikatakan baru tiba di hotel penginapannya selepas selesai mengadili perlawanan Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketika berada di depan pintu masuk hotel, seorang lelaki tidak dikenali datang lalu menumbuk mukanya.

Lelaki berbadan besar itu memakai seluar celoreng, berbaju hitam dan topi beret merah, melarikan diri dengan motosikal dipercayai jenis Yamaha LC bersama seorang lelaki.

Mangsa dari Desa Petaling, Kuala Lumpur, membuat laporan polis di Balai Polis Larkin sejurus kejadian.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Mohd Fahmy Yahya berkata persatuan berkenaan kesal dan tidak menyokong tindakan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

No comments:

Post a Comment