Search This Blog

Sunday, August 31, 2014

Polis bantuan klia2 ditangkap bantu siasatan


SEPANG 30 Ogos - Seorang polis bantuan yang bertugas di terminal klia2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan reman sehingga 2 September ini bagi membantu siasatan mengenai pelepasan seorang penumpang udara yang membawa objek menyerupai bom ke dalam kapal terbang.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Awang berkata, polis bantuan itu ditahan di klia2 pada pukul 3.30 pagi semalam bersama enam rakan setugas lain.
"Keenam-enam orang ini termasuk dua wanita bagaimanapun telah dibebaskan hari ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Yusoff berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 7.40 malam, 27 Ogos lalu ketika suspek bersama enam anggota polis bantuan lain memeriksa beg seorang penumpang dari Rusia selepas mengesan imej mencurigakan melalui mesin pengimbas.
"Replika berbentuk bom serta satu pemetik api berbentuk pistol telah ditemui dalam beg milik penumpang Rusia tersebut.
"Penumpang itu difahamkan merupakan seorang mahasiswa institusi pengajian tinggi swasta di negara ini dan mendakwa semua objek menyerupai bentuk senjata telah dibeli sebagai cenderamata," katanya.
Menurut Mohd. Yusoff, kesemua objek berkenaan kemudian dirampas tetapi penumpang telah dilepaskan, tanpa sebarang laporan polis.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140831/je_05/Polis-bantuan-klia2-ditangkap-bantu-siasatan#ixzz3BvM2VEiS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment