Search This Blog

Thursday, August 7, 2014

Penyamun solo kena cekup


Oleh Rosliza Mohamed
Machang: Seorang lelaki berusia 36 tahun yang aktif melakukan kegiatan samun secara bersendirian sejak Mei lalu berjaya diberkas polis, dalam satu kejadian di Labok di sini, kelmarin.

Lelaki berasal dari Kampung Chicha di sini, ditahan selepas polis menerima maklumat mengenai cubaannya melarikan sebuah kereta jenis Nissan Bluebird milik seorang wanita di Kuala Krai, kira-kira jam 7.30 malam.


Modus operandi digunakannya adalah dengan berlagak alim dan mencari wanita yang memandu sendirian untuk dibantu selepas dia memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan lastik dan serpihan plug kereta.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, sebaik menerima laporan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai bertindak mengekori suspek yang ketika itu ditemui di kawasan Telekong, Kuala Krai hingga ke Labok, Machang.


"Sebaik tiba di Masjid Labok, suspek memperlahankan kereta dan berhenti di perkarangan masjid.


"Anggota kemudiannya cuba mendekatinya namun disedari suspek yang cuba melarikan diri dengan mengundur kereta ke belakang dan hampir melanggar seorang anggota dan orang awam.

"Berikutan itu satu tembakan dilepaskan ke arah tayar depan kereta dipandu suspek bagi tujuan menghalang pergerakannya," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Suspek berjaya ditahan di tepi Jalan Labok, Machang dan kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

No comments:

Post a Comment