Search This Blog

Friday, August 22, 2014

Peniaga berdepan 80 pertuduhan gubah wang haram lebih RM1j





22/08/2014 8:38pm

MELAKA - Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 80 pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan nilai lebih RM1 juta dari tahun 2010 hingga 2012.

Bagaimanapun, Alex Chong Siau Meng, 26, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Amran Jantan.

Mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Sept untuk sebutan semula kes.

Siau Meng didakwa memindah dan menerima wang hasil aktiviti haram antara RM10,000 dan RM200,000 daripada akaun bank OUB, Lim Guat Moey, 48, ke akaun miliknya, yang berjumlah RM1.66 juta.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Public Bank Batu Berendam serta UOB Bank Malim Business Park dan Plaza Mahkota di sini dari 3 Disember 2010 hingga 10 Julai 2012 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang pekerja kedai permainan komputer Low Kim Hsen, 26, berdepan 20 pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM195,611.

Dia didakwa menerima wang hasil aktiviti haram antara RM7,311 dan RM10,000 daripada akaun OUB milik Siau Meng dan Guat Moey ke akaun OUB miliknya dari 25 Januari hingga 27 Julai 2011 di UOB Malim di sini.

Bagaimanapun, Low mengaku tidak bersalah dan Hakim Ahmad Sazali Omar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 September untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Anslem Charles Fernandis, Chong diwakili peguam C.Surendran manakala peguam Loh Chon Mee mewakili Low. - Bernama



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0822&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_38.htm#ixzz3B8A2ld9e
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment