JOHOR BAHRU – Hanya bermodalkan wajah simpati, warga asing yang datang ke negara ini mengambil kesempatan di atas kebaikan dan keprihatinan rakyat tempatan untuk mengemis sehingga mencecah pendapatan RM500 sehari.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, pihaknya pernah menahan seorang wanita Pakistan berusia 45 tahun yang ditemui meminta sedekah berhampiran sebuah kompleks membeli-belah.

““Hasil pemeriksaan ke atas seorang wanita Pakistan yang ditemui berkeliaran berhampiran Plaza Angsana mendapati dia berjaya mengumpul RM500 dalam masa sehari.

"Adakalanya mereka tidak duduk mengemis di tepi jalan tetapi cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menjual tisu dari kereta ke kereta yang ada di persimpangan jalan,” katanya.

Mahayi berkata, terdapat warga asing yang tidak serik dan masih mengulangi kegiatan mereka walaupun beberapa kali ditahan oleh penguatkuasa JKM kerana hasil lumayan yang berjaya diperolehi.

“Ketika ditahan ada yang cuba beri alasan mereka baru sampai di kawasan itu dan tidak pernah mengemis sedangkan pernah ditahan beberapa kali.

“Selain itu, ada juga yang sanggup membawa anak kecil untuk meraih simpati orang ramai dan memungut hasil lumayan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menjalankan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan mengemis di sekitar bandaraya ini.

"Mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 33/2 Akta Orang Papa 1977," katanya.